Friday, July 24, 2009

Sekolah Selamat

Program Sekolah Selamat dilancarkan di sekolah-sekolah di Malaysia bagi membendung masalah disiplin murid-murid. Warga sekolah di Malaysia bermaksud guru, murid, kakitangan sokongan, pentadbir sekolah, kaunselor dan sebagainya.

Setiap warga sekolah mestilah mempunyai kesedaran tentang keselamatan dan diterjemahkan melalui sikap dan tingkahlaku sensitif, prihatin dan tanggungjawab profesional untuk menjamin suasana pembelajaran dapat berjalan dengan baik.

Apakah Sekolah yang Selamat?

Sekolah selamat adalah satu fenomena yang agak baru dalam konteks pendidikan di Malaysia. Sekolah selamat ditakrifkan sebagai tempat yang tersusun dan bertujuan di mana murid-murid dan kakitangan sekolah adalah bebas untuk belajar dan pengajaran berlaku secara bebas tanpa apa-apa gangguan secara fizikal ataupun secara psikologi. Dengan perkataan lain, sekolah selamat merujuk kepada kepercayaan bahawa semua murid di sekolah mempunyai peluang untuk belajar dalam persekitaran yang selamat dan kondusif.

Sesebuah sekolah dikatakan selamat sekiranya ia mempunyai ciri-ciri berikut :

* mempunyai sensitiviti dan rasa hormat kepada semua individu
* persekitaran yang tidak mengalami sebarang gangguan
* tingkahlaku pelajarnya dapat dijangkakan dengan jelas
* dasar disiplin adalah konsisten dan ditadbirkan dengan adil
* muridnya mempunyai rasa terikat atau menyayangi sekolah
* tingkah laku yang positif mendapat sokongan dan pengiktirafan pihak sekolah
* prosedur-prosedur tentang keselamatan sekolah adalah proaktif
* warga sekolah mempunyai kesedaran komuniti terhadap kawasan sekolah
* rancangan respon terhadap kecemasan adalah mantap
* penyelenggaraan sekolah menepati masa
* aspek kebersihan menjadi amalan
* rupa bentuk sekolah dan bilik kelasnya adalah cantik

Jadikanlah SMKTP sebuah sekolah yang selamat untuk semua...

/rbj

No comments:

Post a Comment

Followers