Monday, July 20, 2009

Isu Murid Ponteng Sekolah

Masalah ponteng sekolah merupakan satu isu penting yang perlu ditangani oleh semua pihak. Seseorang murid yang ponteng sekolah akan menimbulkan banyak implikasi kepada sekolah, keluarga dan masyarakat.

PERANGKAAN terkini bilangan murid yang terlibat dengan gejala ponteng sekolah ialah seramai 34,628 orang. Meskipun angka tersebut dianggap kecil berbanding lebih 4 juta bilangan murid keseluruhan, ia tidak boleh dipandang sebelah mata dan dianggap remeh terutama oleh pihak yang terlibat secara langsung dalam dunia pendidikan iaitu ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan masyarakat keseluruhan.

Pihak kementerian boleh merencanakan pelbagai program dan guru bertindak sebagai pelaksana, namun segalanya itu akan menjadi sia-sia jika kerjasama daripada seluruh anggota masyarakat tidak diperolehi. Guru boleh melaksanakan pelbagai program yang bersifat merangsang murid untuk hadir ke sekolah, mengenakan denda dan hukuman yang bersesuaian kepada murid yang ponteng, namun begitu, segalanya pasti tidak akan terjawab tanpa kerjasama dan penglibatan seluruh anggota masyarakat dalam usaha untuk membasmi gejala yang negatif itu.

Tanggungjawab ibu bapa sangat jelas, iaitu dengan cara memastikan anak-anak selamat dalam perjalanan ke sekolah dan juga pada ketika yang sama selamat sampai ke sekolah.

Ibu bapa perlu memastikan walau dengan apa cara sekalipun, agar anakmereka tidak melencong ke tempat lain, seperti pusat hiburan dan kompleks beli belah jika di bandar dan rumah kosong atau tepi sungai bagi murid di luar bandar.

Ibu bapa perlu memerhatikan gerak geri anak-anak mereka, kerap berhubung dengan pihak sekolah, sering bertanyakan rakan anak-anak atau pemandu bas serta juga perlu selalu melihat apa yang terkandung dalam beg sekolah anak-anak.

Apa yang terkandung di dalam beg sekolah boleh memberi jawapan sama ada anak ke sekolah atau tidak pada hari berkenaan. Bukti anak ke sekolah boleh dilihat menerusi buku latihan atau nota yang tentunya mempunyai tarikh sementara dalil menunjukkan murid melencong ke tempat lain ialah adanya 'seragam simpanan' dalam beg mereka.

Apa yang lebih menyedihkan lagi, terdapat ibu bapa yang hanya membiarkan anak-anak mereka ponteng sekolah berada di rumah sendiri tanpa bertanyakan sebab yang munasabah mengapa anak mereka tidak ke sekolah.

Malahan, ada pula murid yang memburukkan guru disiplin yang terlalu garang, yang menyebabkan mereka kurang berminat untuk ke sekolah atau memberikan alasan yang remeh seperti pemeriksaan mengejut mingguan pada setiap Isnin, pelbagai macam jenis sakit, kasut kotor, atau terlepas bas sebagai helah pertanyaan ibu bapa mereka.

Kesimpulannya, dalam apa jua perkara yang melibatkan dunia pendidikan, kerjasama dan muafakat semua pihak penting bagi mengatasi setiap masalah yang timbul.

/rbj

No comments:

Post a Comment

Followers