Sunday, July 12, 2009

Peraturan Sekolah : Satu Kajian Kes (ii)

Sambungan entri terdahulu ....

BAHAGIAN B : PERAWAKAN MURID LELAKI

1. Rambut (Pekeliling KP (BS)8543/Vol.11/(58)
a. Murid-murid mestilah berambut pendek tidak mencecah kolar dan tidak mencecah telinga. Pelipis rambut tidak melebihi setengah daripada telinga.
b. Murid-murid tidak dibenarkan menyimpan rambut.
c. Murid-murid dikehendaki menipiskan pelipis dan belakang.
d. Murid-murid perlulah berambut kemas dan bersih.
e. Murid-murid dilarang menyimpan jambang, janggut, janggut sepat dan misai.
f. Murid-murid tidak boleh mewarnakan dan mengerintingkan rambut.
g. Murid-murid tidak dibenarkan membotakkan kepala.

Analisis:
Dalam aspek ini, pemeriksaan rambut dilakukan dari semasa ke semasa. Pemeriksaan ini dilakukan kerapkali pada waktu selepas perhimpunan. Sekurang-kurangnya dua kali dalam sebulan ia dilakukan di dalam kelas oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dengan dibantu oleh guru disiplin bersama-sama dengan beberapa orang guru lain.

2. Cermin Mata
a. Murid boleh memakai cermin mata atas nasihat doktor.
b. Cermin mata yang dipakai mestilah berkeadaan baik dan selamat.

Analisis:
Untuk aspek ini tidak berapa dititikberatkan kerana ia dianggap sebagai perkara biasa. Setakat ini murid yang memakai cermin mata hanyalah daripada golongan yang sepatutnya memakai cermin mata kerana masalah penglihatan.

3. Pakaian (KP.BS8591/Jldd.11/(2) dan 8591/Jld.11/(39)

3.1 Lencana Sekolah
a. Murid-murid hendaklah melekatkan lencana sekolah di atas daripada saku baju.
b. Murid-murid digalakkan memakai tanda nama dan lencana sekolah tetapi tanda nama tidak boleh digunakan sebagai gantian lencana sekolah.

Analisis:
Pada keseluruhannya para pelajar mematuhi peraturan ini. Ini mungkin kerana lencana yang digunakan adalah dari jenis kain yang sememangnya kena jahit di poket baju. Pengecualian hanya diberikan hanya kepada pengawas sekolah sahaja.

3.2 Baju
a. Murid-murid hendaklah memakai baju warna putih dan berkolar dengan mempunyai satu sahaja poket – iaitu terletak di sebelah kiri.
b. Murid-murid digalakkan memakai baju tangan pendek. Lengan baju tidak boleh dilipat.
c. Saiz baju hendaklah sesuai dengan badan, berbutang putih dan dimasukkan ke dalam.
d. Singlet mestilah berwarna putih (jika dipakai).
e. Baju yang bernila mestilah tidak mengubah warna asal baju.

Analisis:
Bagi aspek ini terdapat banyak kesalahan yang dilakukan oleh murid. Perkara ini berlaku kerana kurangnya kefahaman oleh murid tentang peraturan berpakaian di dalam kawasan sekolah. Hal ini demikian kerana sekolah ini mempunyai dua sesi dan murid menganggap bahawa apabila sesuatu sesi itu tamat masa persekolahannya, maka sesi yang satu lagi tidak berhak membuat atau mengambil tindakan disiplin terhadap mereka. Hal ini selalunya terjadi pada murid sesi pagi.

3.3 Seluar
a. Murid-murid boleh memakai seluar pendek atau seluar panjang berwarna hijau hitam (dark olive).
b. Murid-murid tidak dibenarkan memakai seluar yang mempunyai poket jenis bertampal dan berbutang besi.
c. Seluar yang dipakai mestilah tidak terlalu ketat.
d. Labuh seluar mesti melampaui buku lali dan tidak mencecah lantai. Lebar kaki seluar tidak terlalu kecil atau terlalu besar (sesuai dengan ukuran pemakai).
e. Bagi murid-murid yang memakai seluar jenis bertali pinggang, tali pinggang mestilah tidak melebihi 1 ½ inci, tidak berkepala besar, mempunyai satu warna sahaja iaitu warna gelap dan mesti dipakai dengan kemas.
f. Seluar yang dipakai mesti berjahit di bahagian kaki.
g. Murid-murid juga tidak dibenarkan memakai seluar jenis Bermuda dan Jean.

Analisis:
Dalam hal ini juga terdapat sedikit kesulitan. Hal ini berlaku kerana murid seakan-akan terikut pada perkembangan fesyen semasa. Ada sesetengahnya memperagakan fesyen dari zaman sebelumnya dengan membuat stail carrot, kaki kecil, kaki seluar menyapu lantai dan seluar tergantung. Dari segi pemakaian tali pinggang juga terdapat berbagai-bagai stail dan warna penggunaan tali pinggang. Ini berlaku kerana tali pinggang dianggap sebagai pelengkap pakaian.

3.4 Stokin
Murid-murid mestilah memakai stokin berwarna putih dan melebihi 5 inci melepasi buku lali tanpa apa-apa hiasan.

Analisis:
Aspek ini yang paling ketara sekali kerana boleh dikatakan ¾ pelajar mengamalkan pemakaian kasut tanpa stokin. Hal ini berlaku kerana ada sesetengah bilik atau kelas dan selain dari pejabat, murid harus membuka kasut dan stokin. Ini menyebabkan murid menganggap bahawa pemakaian stokin adalah tidak perlu kerana faktor-faktor tersebut.

3.5 Kasut
Jenis kasut yang dibenarkan ialah:-
a. Kasut jenis kanvas atau bahan sintetik lain berwarna putih mempunyai daya resap dan penyaluran gerak udara.
b. Kasut separuh kanvas putih kesemuanya kecuali bahagian tapak.
c. Kasut berwarna hitam hanya dibenarkan untuk pengawas dan pelajar-pelajar tingkatan 6 sahaja.
d. Kasut hitam mestilah bertumit tidak melebihi 3 sentimeter.

Analisis:
Dalam aspek ini didapati mmurid mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Boleh dikatakan kesemua murid mematuhi peraturan mengikut garis panduan yang ditetapkan.

(Diubahsuai daripada petikan mozais ‘Laman Generasi Guru’...s/u HEM)

No comments:

Post a Comment

Followers