Sunday, July 12, 2009

Peraturan Sekolah : Satu Kajian Kes (i)

Peraturan sekolah merupakan satu persetujuan yang diakui bersama oleh warga sekolah dalam mengawal disiplin dan tingkahlaku manusia yang berada di dalamnya.

Maksud peraturan ialah undang-undang yang ditetapkan untuk menentukan ketenteraman, keharmonian dan kelicinan perjalanan aktiviti-aktiviti dalam masyarakat atau sekolah. Tujuan peraturan ini dibuat adalah untuk mengawal tingkahlaku dan melicinkan perjalanan hidup warga sekolah supaya proses pembentukan jati diri dan pendidikan berjalan lancar tanpa ada sebarang gangguan. Apabila terdapat gangguan yang tidak diingini berlaku, ia akan menyebabkan sistem pendidikan yang dirancang tidak dapat dijalankan dengan teratur dan secara tidak langsung ia juga membantutkan usaha pembentukan nilai-nilai murni. Usaha pembentukan nilai murni ini adalah penting bagi setiap murid untuk menghadapi situasi yang sebenar dalam alam kehidupan realiti.

Di sini saya ingin berkongsi ilmu dengan warga SMKTP berkait dengan peraturan sekolah. Entri ini memaparkan satu kajian kes yang dilakukan di sebuah sekolah menengah harian biasa, kategori sekolah bandar di sebuah negeri di Pantai Timur. Terdapat 4 entri kesemuanya, dan diharap paparan ini dapat memberi manfaat kepada kita dalam usaha meningkatkan tahap disiplin dalam kalangan murid di SMKTP.

Berikut ialah laporan kajian kes peraturan sekolah :

Kajian kes ini terbahagi kepada 3 bahagian :

BAHAGIAN A : TUJUAN

1. Membentuk keperibadian murid-murid untuk melahirkan warganegara yang bertanggungjawab sesuai dengan prinsip-prinsip Rukun Negara.
2. Melatih murid-murid menerima dan mematuhi undang-undang, peraturan-peraturan, kawalan-kawalan dan arahan secara insaf dan bertanggungjawab.
3. Melahirkan suasana disiplin sekolah yang sempurna untuk melicin dan menjamin kejayaan pelajaran dan pendidikan.
4. Membentuk dan melahirkan akhlak yang mulia dalam kalangan murid dalam hubungan mereka dengan sekolah dan masyarakat.

Jika dilihat pada tujuan peraturan ini diadakan, jelas ia adalah untuk membentuk peribadi dan tingkahlaku murid bersesuaian dengan prinsip Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Ia juga adalah proses penyediaan murid-murid dalam hubungan mereka dengan masyarakat dan Negara

(Diubahsuai daripada petikan mozais ‘Laman Generasi Guru’.....s/u HEM)

No comments:

Post a Comment

Followers