Sunday, July 12, 2009

Peratuan Sekolah : Satu Kajian Kes (iii)

Sambungan entri terdahulu ….

BAHAGIAN B : PERAWAKAN MURID PEREMPUAN

1. Rambut (KP.8534/Vol.11/658)
a. Murid-murid mestilah menjaga rambut supaya sentiasa kemas dan bersih.
b. Murid-murid dilarang berfesyen secara keterlaluan.
c. Murids-murid tidak dibenarkan mewarnakan rambut.
d. Murid-murid yang berambut panjang mestilah mengikat rambut mereka. Mereka boleh mengikat satu(ekor kuda)atau ikat dua dan tidak berfesyen-fesyen.
e. Rambut boleh ditocang satu atau dua dan tidak lebih daripada bilangan tersebut.
f. Reben yang boleh digunakan ialah jenis biasa, tidak berkilat-kilat atau bercorak. Warna yang dibenarkan ialah hitam, biru muda, biru tua, dan putih.
g. Murid-murid hanya boleh menggunakan sepit rambut biasa dan berwarna hitam sahaja.

Analisis:
Aspek ini menampakkan tahap disiplin yang sangat rendah dalam kalangan murid terutamanya murid-murid berketurunan Cina. Hal ini berlaku mungkin kerana faktor persekitaran serta trend semasa. Namun begitu, pihak sekolah terutamanya para guru tidak membiarkan perkara ini berleluasa. Tindakan oleh pihak sekolah kerap diadakan tanpa mengira waktu yang ditetapkan. Murid yang melanggar peraturan ini terus diambil tindakan dengan menghubungi ibu bapa serta diminta membuat perjanjian dengan pihak sekolah agar perkara ini tidak berulang lagi pada masa hadapan.

2. Tudung (KP.BS8591/Jld.11/(2))
a. Murid-murid dibenarkan memakai mini telekung atau skaf berwarna putih atau biru gelap/tua bagi pengawas.
b. Panjang mini telekung mestilah setakat menutup dada dan jangan terlalu labuh.
c. Murid-murid boleh menjahit renda yang sewarna dengan kain tudung dan lebarnya tidak lebih daripada 1 sentimeter.
d. Biku yang terdapat di bahagian tepi kain tudung mestilah daripada corak bunga yang kecil sahaja dan tidak berlubang-lubang. Lebarnya tidak lebih daripada 1 sentimeter.
e. Anak telekung mestilah berwarna putih bagi pelajar biasa dan warna hitam atau biru tua bagi pengawas.
f. Murid--murid yang memakai skaf mestilah mengikatnya dengan kemas dan jangan diikat sebelah tepi atau dipakai berfesyen-fesyen.
g. Pin yang digunakan untuk skaf atau mini telekung mestilah berwarna putih atau biru gelap untuk pengawas.

Analisis:
Bagi aspek ini pula didapati murid mematuhi peraturan tatacara memakai tudung. Dalam aspek ini boleh dikatakan tiada masalah perlanggaran peraturan sekolah yang dilakukan oleh murid.

3. Baju (KP.BS8591/Jld.11/(2))
Murid-murid perempuan mestilah memakai baju berwarna putih.
a. Saiz baju mestilah sesuai dengan tubuh badan.
b. Labuh baju kurung mestilah melepasi punggung.
c. Murid dibenarkan memakai baju kurung moden tetapi janganlah singkat dan ketat hingga mirip kepada baju kebaya.
d. Baju mestilah berleher belah depan dan dikenakan kancing baju sama ada bercakuk atau butang putih atau reben putih bersaiz kecil.
e. Belahan leher baju di bahagian hadapan janganlah terlalu panjang.
f. Murid-murid dilarang memakai baju yang diperbuat daripada kain jarang.
g. Murid-murid tidak dibenarkan memakai baju cekak musang.
h. Blaus berlengan panjang hanya boleh dipakai oleh murid-murid tingkatan 6 dan pengawas.
i. Nurid-murid dilarang melipat lengan baju mereka.

Analisis:
Dari segi pemakaian baju bolehlah dikatakan murid memakai pakaian yang sempurna dan mengikut peraturan. Namun begitu, ada juga murid yang membuat baju daripada kain yang jarang sehingga menampakkan bahagian yang tidak sepatutnya dilihat.

4. Kain
a. Murid-murid perempuan hanya dibenarkan memakai kain berbentuk “A Line” atau kain susun tepi.
b. Kain mestilah tidak terlalu labuh dan tidak terlalu singkat.
c. Warna kain yang dibenarkan ialah biru laut kecuali pelajar tingkatan 6 warna kainnya boleh sewarna dengan warna kain seluar pelajar lelaki.

Analisis:
Keseluruhannya boleh dikatakan baik kerana semua murid mengikut arahan yang ditetapkan. Namun begitu,, ada juga murid perempuan yang menyingkatkan kainnya dengan melipat naik ke atas. Ini menyebabkan tindakan sewajarnya dilakukan oleh guru perempuan dengan menyuruh murid yang melipat kain ke atas membukanya semula.

5. Stokin
a. Peraturannya sama dengan yang dikenakan kepada murid lelaki.
b. Murid-murid tidak dibenarkan memakai stokin yang sewarna dengan kulit(skin colour).
c. Murid-murid juga dilarang memakai stokin yang berenda.
d. Murid yang berbaju kurung dibenarkan tidak memakai stokin.

Analisis:
Secara amnya dapat dinyatakan bahawa semua murid perempuan memakainya walaupun terdapat pengecualian bagi murid yang berbaju kurung. Mungkin ini disebabkan oleh faktor kecantikan anggota badan amat dititikberatkan oleh murid-murid perempuan. Kesimpulannya, tiada masalah yang timbul dari aspek ini.

6. Kasut
Murid-murid perempuan hendaklah memakai kasut putih sebagaimana peraturan yang dikenakan kepada murid lelaki kecuali murid-murid tingkatan 6 dan pengawas dibenarkan memakai kasut hitam yang bukan bertumit kecil dan tingginya tidak melebihi 3 sentimeter.

Analisis:
Dalam aspek ini semua murid mematuhi peraturan yang ditetapkan.

7. Cermin Mata
Sama seperti peraturan yang dikenakan kepada murid-murid lelaki.

Analisis:
Aspek ini juga tiada masalah yang timbul dan murid mematuhi peraturan.

8. Barang Kemas/Perhiasan dan Alat Solek
1. Murid-murid dilarang memakai barang kemas kecuali jam tangan.
2. Bagi yang bertindik, subang yang dibenarkan adalah subang kecil yang ukurannya tidak lebih daripada 1 sentimeter. Rupa bentuk subang mestilah ringkas. Subang yang mmempunyai permata tidak dibenarkan.
3. Murid-murid dilarang memakai apa-apa sahaja bentuk perhiasan dan mengenakan apa-apa sahaja bentuk perhiasan dan mengenakan apa-apa sahaja alat solek semasa berada di sekolah.

Analisis:
Aspek ini diberi penekanan yang tinggi oleh pihak sekolah supaya murid mematuhi peraturan yang ditetapkan. Ini mungkin kerana faktor persekitaran yang menyebabkan pihak sekolah mengambil tindakan agar mereka mematuhinya. Hal ini demikiian kerana sekolah ini terletak di kawasan Bandar - murid terdedah kepada bahaya dan ancaman yang tinggi.

9. Kuku
1. Murid-murid mestilah memelihara kesihatan dan kerapian kuku. Kuku mestilah sentiasa bersih dan pendek.
2. Murid yang berkuku panjang, berkuku kotor dan mewarnakan kuku dianggap telah melanggar peraturan sekolah dan boleh diambil tindakan disiplin.

Analisis:
Dalam hal ini, tumpuan yang kerap diberi tindakan adalah dari segi pemeriksaan kuku bagi memastikan kuku dijaga dengan elok. Pemeriksaan kuku dilakukan oleh para guru pada setiap masa tanpa mengira tempat dan waktu.

10. Pakaian untuk Bersukan
Murid-murid hendaklah memakai pakaian yang sesuai untuk bersukan.

Analisis:
Secara keseluruhannya murid-murid mematuhi peraturan yang ditetapkan dengan memakai pakaian yang sesuai dengan permainan.

11. Pakaian Sewaktu Menghadiri Aktiviti Selepas Sekolah
11.1. Murid-murid mestilah memakai pakaian sekolah dan tidak berselipar apabila berada di dalam kawasan sekolah selepas waktu persekolahan.
11.2. Murid-murid dibenarkan memakai baju ‘T’ putih tanpa sebarang lukisan kecuali baju ‘T’ yang dikeluarkan oleh sekolah.

Analisis:
Dalam aspek ini peraturan telah ditetapkan oleh pihak sekolah dan sekolah juga telah menyediakan baju ‘T’ berlambangkan sekolah. Namun begitu, sikap sesetengah murid cuba menguji dan mencabar pihak sekolah dengan tidak memakai pakaian yang ditetapkan. Tindakan yang diambil oleh pihak sekolah adalah dengan tidak membenarkan murid tersebut mengambil bahagian dan diarah untuk keluar dari kawasan sekolah.

Diubahsuai daripada petikan mozais ‘Laman Generasi Guru”… s/u HEM

No comments:

Post a Comment

Followers