Wednesday, August 26, 2009

Kibaran Jalur Gemilang di SMKTP

Perayaan Bulan Kemerdekaan disambut oleh semua warganegara mulai 16 OGOS sehingga 16 SEPTEMBER pada setiap tahun, tidak terkecuali warga SMKTP.

Walaupun pada tahun ini sambutannya terasa agak 'sunyi' di SMKTP disebabkan sibuk dengan Peperiksaan Percubaan PMR, cuti Pertengahan Semester Kedua dan juga bahana H1N1, kita tidak boleh mengabaikan perayaan tersebut dan sambutan tetap diadakan dalam keadaan yang paling sederhana.

Mulai hari Selasa, 25 Ogos 2009 (selepas SMKTP bebas daripada kuarantin selama 7 hari), Jalur Gemilang mula dikibarkan di dalam kawasan sekolah, terutama sekali di dewan utama dan juga di bahagian hadapan pagar sekolah. Mulai esok, banyak lagi Jalur Gemilang akan dipasang di sepanjang laluan dan juga tempat-tempat strategik di dalam kawasan sekolah. Kibaran Jalur Gemilang ini pasti akan memeriahkan lagi perayaan ulangtahun Kemerdekaan negara buat kali ke-52 pada tahun ini.

Kibaran Jalur Gemilang pasti memarakkan lagi patriotisme dalam kalangan warga SMKTP ! /rbj

Tuesday, August 18, 2009

H1N1 : Saringan Suhu Badan Murid


Pagi tadi sebelum memulakan Peperiksaan Percubaan PMR Kertas Bahasa Inggeris (1), Guru-guru Tingkatan 3 telah diarah untuk melakukan pemeriksaan suhu badan murid masing-masing. Murid yang mempunyai suhu badan melebihi 37 darjah celcius diletakkan di bilik darjah yang berasingan. Murid-murid juga dibekalkan dengan 'face mask' dan mereka dikenakan bayaran sebanyak 30 sen. Mereka dikehendaki memakainya sepanjang masa.

Hasil daripada pemeriksaan suhu badan murid, didapati ramai murid yang mempunyai suhu badan melebihi 37 darjah celcius, malahan ada yang mencecah 39.5 ! Mereka dihimpunkan di dalam 2 buah bilik darjah dan diselia oleh Puan Rohani Deraman, Kaunselor sekolah. Sebenarnya, ramai murid T3 datang ke sekolah semalam dan hari ini kerana ingin menduduki PEPERIKSAAN PERCUBAAN PMR, walaupun mereka tahu bahawa mereka tidak sihat !

Setelah dikenalpasti terdapat ramai murid yang tidak sihat, ditambah pula kebimbangan yang disuarakan oleh guru-guru dan ibu bapa, pihak sekolah telah mengambil keputusan bijak untuk menutup sekolah sepenuhnya bermula hari ini bagi mengelakkan penularan virus influenza A H1N1. Lebih kurang pada pukul 10.00 pagi tadi, semua murid Tingkatan 3 dibenarkan pulang dan mereka diberi surat pemberitahuan tentang cuti tersebut untuk disampaikan kepada ibu bapa/ penjaga. Mereka dikuarantikan di rumah selama 7 hari !

Sebelum itu, murid-murid T4 dan T5 telah dibenarkan pulang setelah kedatangan mereka diambil. Sebelum dibenarkan pulang, satu taklimat lengkap telah diberi oleh PK HEM, sebagai panduan / langkah-langkah yang perlu diambil oleh mereka sepanjang tempoh kuarantin tersebut.

Cegah Sebelum Parah ...!

Foto : Guru Tingkatan sedang memeriksa suhu badan murid... /rbj

Cekik Darah

Permintaan yang tinggi terhadap 'face mask' & 'hand rub sanitizer' menyebabkan harga barangan tersebut meningkat berkali ganda daripada harga asal. Keadaan ini menyebabkan tempahan awal yang dibuat oleh pihak sekolah daripada pembekal terpaksa dibatalkan...!

Perkara ini telah menjadi isu yang perlu diberi perhatian dalam keadaan negara sedang menghadapi wabak Influenza A H1N1. Kerajaan sedang menimbangkan untuk menjadikan 'face mask' sebagai barang kawalan bagi mengelakkan pembekal menaikkan harga sewenang-wenangnya.

Monday, August 17, 2009

H1N1 : Sekolah Cuti Sebahagian.

Sekolah akan diberi cuti sebahagian mulai esok bagi sesi petang, murid T5 dan murid T4.

Esok pagi, semua murid Tingkatan 3 akan diambil suhu badan. Murid yang mempunyai suhu badan yang tinggi akan diasingkan dan akan mengambil peperiksaan secara berasingan. Peperiksaan akan dimulakan setelah selesai suhu badan murid diambil.

Sebenarnya hari ini terdapat murid tingkatan 3 yang tidak sihat, demam & batuk yang hadir ke sekolah untuk menduduki peperiksaan.! Oleh itu, esok semua murid perlu diperiksa suhu badan terlebih dahulu sebelum masuk kelas.

Murid T4 & T5 pula akan berhimpun di dewan untuk diambil kedatangan oleh semua guru tingkatan yang terlibat. Selepas itu taklimat khas akan disampaikan sebelum mereka dibenarkan pulang dan bercuti sehingga 24 Ogos. (Sebenarnya sehingga Jumaat ajelah, kerana selepas itu sudah mula cuti pertengahan semester...) Mereka akan dikuarantinkan di rumah !!!

Guru yang mengajar Ting. 4 & 5 (sahaja) juga akan diberi pelepasan seperti murid T 4 & T5. Dikuarantin di rumah juga...!!! Guru yang mengajar Ting. 3 dan Ting 4 atau yang mengajar T3 dan T5 perlu hadir ke sekolah seperti biasa. Mereka akan diberi 'tugas khas' menjaga murid T3 yang diasingkan di bilik-bilik tertentu untuk menduduki peperiksaan percubaan PMR.

Jadi, semua warga SMKTP perlu jelas, sekolah hanya diberi cuti sebahagian; bukannya tutup terus.!

Itulah maklumat terkini yang diterima daripada PK Hem... harap maklum..../rbj

Sunday, August 16, 2009

Barber Corner @ SMKTP


Masih ada murid yang 'terlupa' untuk memotong rambut atas pelbagai alasan... Agaknya mereka mahu guna 'khidmat percuma' menggunting rambut di SMK Tanah Putih.

Sebenarnya ada sekolah yang menyediakan khidmat menggunting rambut di sekolah dengan mengenakan sejumlah bayaran tertentu. Kedai gunting rambut itu dikendalikan oleh murid-murid melalui Kelab Kemahiran Hidup, contohnya di SMK Batu Gajah, Tanah Merah, Kelantan.

Dalam Buku Peraturan Sekolah, ada garis panduan yang perlu dipatuhi oleh semua murid tentang cara berpakaian, termasuk rambut...! / rbj

Friday, August 14, 2009

H1N1 : Hand Rub Sanitizer untuk Murid



Hari ini, pihak sekolah membekalkan 'hand rub sanitizer' kepada semua kelas melalui guru tingkatan masing-masing. Puan Adhipah Kandar selaku guru penyelaras unit kesihatan sekolah telah mengedarkan satu botol sanitizer jenis cuticura kepada semua guru tingkatan.

Setiap pagi guru tingkatan akan memastikan tangan murid-murid disapu/ cuci dengan sanitizer yang dibekalkan. Guru tingkatan akan menyimpannya dan akan digunakan semula pada keesokan pagi.

Ini merupakan salah satu langkah untuk mengelakkan penyebaran virus influenza H1N1.

Utamakan kebersihan diri.../rbj

Thursday, August 13, 2009

Cakna Sentiasa


Beberapa peringatan telah disampaikan oleh Pengetua & juga PK (HEM) kepada murid-murid semasa perhimpunan rasmi pagi tadi. Antaranya berkait dengan isu semasa dan disiplin.

1) H1N1 :

a) "Face mask" untuk cegah H1N1 - Murid-murid digalakkan menggunakan topeng muka (face mask) dan pihak sekolah akan bekalkan kepada murid-murid apabila bekalan tersebut sampai ke sekolah. Pihak sekolah akan memberi subsidi dan murid hanya perlu membayar sebanyak RM0.30 untuk satu 'face mask'.

b) Sanitizer - Pihak sekolah akan bekalkan sanitizer kepada setiap kelas sebagai satu langkah untuk mencegah penularan virus inflenza A (H1N1).

2) Disiplin :

a) Murid-murid perlu tukar baju senaman sebaik sahaja selesai waktu PJK atau selewat-lewatnya sebelum rehat. Murid-murid yang engkar akan dikenakan tindakan kerana telah beberapa kali diberi peringatan untuk berbuat demikan oleh pihak sekolah.

b) Murid-murid juga tidak dibenarkan membawa wang yang banyak ke sekolah. Ini adalah untuk mengelakkan daripada berlaku kecurian. Murid yang membawa barang-barang yang berharga ke sekolah dan meninggalkannya di dalam bilik darjah dianggap sebagai cuai dan ini juga merupakan satu kesalahan.



Tuesday, August 11, 2009

H1N1 : Jabatan Kesihatan + Unit Kesihatan SMKTP




Lanjutan daripada langkah cegah H1N1 di sekolah, hari ini Jabatan Kesihatan telah datang ke sekolah untuk membuat saringan H1N1 ke atas warga SMKTP khususnya murid-murid yang didapati tidak sihat. Kakitangan Jabatan Kesihatan mula membuat saringan / pemeriksaan tersebut bermula pukul 10.45 pagi, bermula dengan murid Tingkatan 3, dikuti oleh murid Tingkatan 4 dan seterusnyanya murid Tingkatan 5.

Pihak Jabatan Kesihatan hanya membuat pemeriksaan terhadap murid-murid yang demam @ selsema memandangkan jumlah murid di SMKTP terlalu ramai....Pada mulanya ramai jugalah murid yang tidak berkenaan beratur panjang di hapadan Bilik Kesihatan Sekolah untuk diperiksa bagi memastikan mereka bebas daripada H1N1 !

Dapatan daripada pemeriksaan tersebut, kakitangan Jabatan Kesihatan yang bertanggungjawab memaklumkan bahawa tidak ada kes demam dengan suhu melebihi 39 darjah celcius. Yang ada hanyalah sekitar 36 - 37 darjah celsius dan ini tidak membimbangkan !

Puan Noor Aini memberitahu pihak Jabatan Kesihatan bahawa tidak ada kes demam / selsema teruk kerana pihak sekolah telah mengarahkan mereka untuk tidak hadir ke sekolah jika mereka demam. Malah, pagi tadi pun masih terdapat ibu bapa/ penjaga yang datang ke sekolah untuk membawa anak mereka pulang ke rumah kerana didapati tidak sihat.

Langkah proaktif pihak sekolah itu mendapat pujian daripada kakitangan Jabatan Kesihatan kerana dapat mengelakkan penularan virus H1N1 dalam kalangan warga SMKTP.

Semua pihak perlu lebih serius menangani wabak H1N1 yang kini mengorbankan banyak nyawa di negara kita ... /rbj

Monday, August 10, 2009

Langkah Cegah H1N1 di Sekolah

Tidak ada perhimpunan rasmi di sekolah pagi ini. Ada pekeliling daripada daripada JPNP yang melarang diadakan sebarang perhimpunan untuk mengelakkan penularan virus influenza A H1N1 di sekolah.

Langkah drastik juga perlu diambil oleh pihak sekolah bagi mencegah penularan virus H1N1 dalam kalangan warga SMK Tanah Putih.

Pagi tadi, atas nasihat Jabatan Kesihatan, pihak sekolah telah meminta semua guru tingkatan menyenaraikan nama murid yang tidak hadir pada hari ini disebabkan demam. Nama-nama tersebut akan diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pahang dengan segera. Didapati ramai juga murid yang tidak hadir ke sekolah pada hari ini.

Selain itu, murid-murid yang didapati tidak sihat, tetapi datang ke sekolah diminta balik dan berehat di rumah. Ibu bapa telah dihubungi / dipanggil untuk membawa anak-anak mereka balik ke rumah. Terdapat ramai juga murid yang tidak datang ke sekolah hari ini kerana demam. Mereka ini dinasihatkan berehat di rumah selama 7 hari.

Guru-guru yang tidak sihat juga dikehendaki mendapatkan rawatan di pusat-pusat kesihatan dan perlu berehat di rumah selama 7 hari.

Cegah Sebelum Parah...! /rbj

Berhati-hati H1N1


Langkah berwaspada perlu diambil bagi mengelakkan diri daripada terkena jangkitan virus H1N1. Sudah beberapa buah sekolah di negeri Pahang diarahkan tutup selama seminggu.

Panduan Penjagaan Kesihatan :
A) Penjagaan Kesihatan Diri di Rumah :
1) Jika demam, makan ubat paracetamol mengikut dos yang disyorkan.
2) Berehat secukupnya.
3) Banyakkan pengambilan cecair (termasuk air mineral, bubur, isotonik, jus buah-buahan dan sup) bagi mengelakkan dehidrasi.
4) Sekiranya mengalami tanda-tanda kecemasan, segera dapatkan rawatan doktor.
5) Pastikan pengudaraan yang baik di rumah (cth : membuka tingkap di bilik, dapur, tandas dan bilik mandi)

B) Nasihat untuk pesakit dan ahli keluarga bagi mengawal jangkitan di rumah.
1. Amalkan adab batuk yang baik
2. Tingkatkan penjagaan kebersihan diri
3. Jangan kongsi peralatan peribadi
4. Menjarakkan diri (Social Distancing)

Tanda & Gejala :
1) Demam
2) Batuk
3) Sakit tekak
4) Sakit-sakit badan
5) Sakit kepala
6) Cirit birit / muntah
7) sesak nafas/ semput/ sakit dada berterusan

Tindakan pencegahan :
1) Segera ke klinik
2) Kerap cuci tangan dengan air bersih
3) Adab / etika batuk
4) Tutup mulut dengan tisu/ sapu tangan apabila batuk/ bersin
5) Elakkan tempat sesak
6) Ketahui situasi semasa

Perhatian :
Penyakit ini boleh berjangkit melalui udara (pernafasan) dan sentuhan !!!!
Jadikan kebersihan amalan diri, keluarga dan masyarakat !

Mencegah Adalah Lebih Baik Daripada Mengubati... / rbj

Saturday, August 8, 2009

Sekolah yang Selamat & Berkesan : Aspek Disiplin

Sekolah yang selamat dan berkesan ialah sekolah yang dibentuk oleh iklim sekolah yang positif. Terdapat 6 faktor utama untuk membentuk iklim yang positif di sekolah, iaitu kepimpinan, disiplin, keselamatan, kehadiran, pengurusan konflik dan kurikulum. Menyatukan semua faktor tersebut dalam bentuk yang kreatif dapat menyediakan rangka bidang yang perlu untuk mewujudkan keadaan sekolah yang aman, damai dan produktif.

Aspek Disiplin :

Di sekolah, disiplin murid mestilah bermula dari bilik darjah. Disiplin dalam bilik darjah adalah sangat perlu untuk memelihara peraturan dan membentuk persekitaran yang akan membantu ke arah pembelajaran.

Prinsip yang utama di bawah disiplin bilik darjah yang positif akan mendorong murid untuk menerima tanggungjawab bagi perilakunya sendiri. Apabila murid-murid memegang tanggungjawab ini, mereka mempunyai tingkah laku yang teratur dengan sedikit atau tanpa tekanan , daripada peraturan di sekolah dan pihak atasan.

Seorang ahli sosiologi, Amitai Etzioni telah menghubungkan pekerjaan murid yang rendah mutunya dengan kekurangan disiplin diri; terutama disiplin diri inteleknya. Mengulas secara umum tentang disiplin, beliau menyatakan bahawa suatu perbezaan yang paling utama bagi sekolah yang berkesan dengan sekolah yang kurang berkesan ialah struktur disiplinnya. (Tugend, A., 1984). Beliau juga menyatakan bahawa struktur disiplin adalah yang paling berkesan apabila ia diterima oleh murid sebagai yang sahih dan tidak sebagai suatu yang dipaksakan daripada pihak atasan.


Friday, August 7, 2009

Telekung

Murid-murid perempuan yang beragama Islam digalakkan menutup kepala dengan memakai mini telekung / tudung berwarna putih serta anak tudung. Rambut hendaklah dimasukkan ke dalam anak tudung dengan rapi.

Sekiranya murid berkenaan mengenakan tudung kepala yang singkat atau anak tudung yang kecil sehingga menampakkan rambut atau dengan sengaja melepaskan rambut yang panjang di sebalik tudung (tanpa menggunakan anak tudung), ini dianggap melanggar peraturan sekolah sebagaimana yang tercatat dalam Buku Peraturan Sekolah yang berwana kuning itu.

Mereka yang tidak mematuhi peraturan pemakaian tudung yang betul akan diberi 'kebenaran khas' memakai telekung labuh (telekung sembahyang bagi wanita) . Mereka perlu memakai telekung tersebut sehingga tamat waktu persekolahan.

Foto : 'bergaya' ....???!!! / rbj

Thursday, August 6, 2009

H1N1 - Langkah awal berjaga-jaga...


Di SMKTP, sudah ramai murid yang mula memakai topeng (mask) untuk menutup mulut dan hidung. Ini merupakan langkah awal untuk menghindarkan diri daripada terkena udara yang tidak bersih. Sejak akhir-akhir ini didapati setiap hari ada murid yang demam selsema dan terpaksa berehat di rumah.

Memakai topeng hidung dan mulut ini adalah antara langkah awal yang perlu diambil bagi menghadapi 'serangan' inlfuenza A (H1N1) yang melanda negara sekarang. Murid-murid juga dinasihatkan sentiasa membasuh tangan mereka setiap kali selepas keluar dari tandas...

"Sediakan payung sebelum hujan... sediakan topeng sebelum 'bersin'....! /rbj

Wednesday, August 5, 2009

Murid 'tertidur' dalam kelas



Akhir-akhir ini ada murid-murid yang 'tertidur' di dalam bilik darjah. Terdapat pelbagai sebab murid tidur dalam kelas.

Ada murid yang datang ke sekolah walaupun kurang sihat dan pagi-pagi lagi mereka akan 'tertidur' di dalam kelas. Kalau yang berkulit putih, sampai merah sebelah pipi mereka. Murid yang kurang sihat ini dinasihatkan oleh guru untuk menghubungi ibu bapa/ penjaga mereka supaya datang ambil dan bawa mereka balik ke rumah untuk berehat, atau untuk membuat pemeriksaan di pusat kesihatan. Ini adalah untuk memastikan tahap kesihatan mereka tidak berada dalam keadaan yang berisiko.

Selain itu, terdapat juga murid yang suka tidur dalam kelas kerana kurang berminat untuk belajar kerana mereka tidak memahami apa yang diajar disebabkan masalah penguasaan bahasa yang digunakan oleh guru yang mengajar.

Faktor utama yang menyebabkan murid tidur dalam kelas ialah MENGANTUK; sentiasa mengantuk tidak kira pada waktu pagi, selepas rehat ataupun waktu sebelum balik. Terdapat beberapa kemungkinan murid mengantuk dalam kelas. Biasanya murid yang jenis ini banyak menghabiskan masa pada waktu malam dengan bekerja, menolong ibu bapa berniaga di pasar malam dan yang ramainya mengantuk kerana melepak dengan kawan-kawan sehingga lewat malam.

Hasil daripada 'perbualan santai' dengan murid yang terlibat, dapatlah disahkan bahawa punca mengantuk disebabkan oleh tabiat mereka yang tidur lewat malam. Biasanya mereka akan balik ke rumah melewati tengah malam dan kadang-kadang sehingga awal pagi. Murid ini dengan jujur mengaku bahawa mereka menghabiskan masa tanpa tujuan dengan melepak di tempat-tempat tertentu. Mereka juga mengaku, ditegur serta dinasihati oleh ibu bapa tetapi tidak diendahkan...!

Akibatnya, apabila sepanjang malam 'berjaga' tentu sekalilah mereka datang ke sekolah dalam keadaan letih, tidak bermaya dan dalam keadaan tidak bersedia untuk belajar. Mereka akan tidur jika ada peluang....

Walaupun ini merupakan kes 'terpencil' (?), namun adalah menjadi tanggungjawab kita, guru-guru untuk memastikan 'murid tidur dalam kelas' tidak berlaku. Sebagai guru yang sentiasa bersama murid di dalam bilik darjah, kita perlu peka terhadap perubahan sikap mereka dan 'ringan-ringankanlah mulut' untuk 'merisik khabar'..... / rbj

Monday, August 3, 2009

Keceriaan Sekolah : Kebersihan & Keindahan Persekitarannya

Banyak sekolah mengamalkan konsep "Sekolah Dalam Taman" - mementingkan keceriaan dan keindahan sekolah. Sesetengahnya pula mengabaikan keceriaan dan keindahan, sebaliknya menumpukan perhatian kepada perkara lain.

Antara cara untuk memastikan keceriaan sekolah :
1. menanam pelbagai jenis pokok bunga di kawasan sekolah
2. membina kerusi taman di tempat tertentu
3. menyerahkan tugas menjaga keceriaan kawasan tertentu kepada kelab dan persatuan secara sama rata
4. menanamkan kesedaran kepada warga sekolah khususnya murid agar menjaga kebersihan dan keceriaan kawasan sekolah

Keceriaan dan kebersihan perlu dijadikan amalan hidup...

Di manakah kita? /rbj

Followers