Tuesday, November 24, 2009

Isnin Pertama Cuti Sekolah di SMKTP....







Setelah beberapa hari hujan turun tanpa henti, hari ini cuaca agak baik. Tidak hujan walaupun agak mendung. Syukur, murid-murid Ting. 5 dapat ke sekolah dengan selesa untuk menduduki peperiksaan ...

Pagi ini, peperiksaan SPM dan STPM (bagi calon persendirian) berjalan seperti yang dijadualkan. Suasana tenang dan tidak bising.

Di kelas-kelas berhampiran dengan kantin sekolah dan di kelas 4M1, Program Kelas Intervensi BM yang dikendalikan oleh beberapa orang guru baru & GSTT berjalan seperti yang dijadualkan. Walaupun kehadiran murid yang terlibat amat menyedihkan tetapi guru-guru yang dipertanggungjawabkan tetap menjalankan tugas dengan baik....

Kelas Intervensi BM ini terdiri daripada 5 kumpulan iaitu Kump A, B, C, D, dan E yang melibatkan murid-murid di kelas Peralihan, Ting. 1 dan 2. Setiap kumpulan terdiri daripada 18 orang murid. Walau bagaimanapun, hanya 7 orang murid kesemuanya yang hadir bersama dengan 7 orang guru...! Berikut nama-nama murid yang hadir :

KUMPULAN A :
Phang Shao Boon (P1)
Guru : CIK LOH SUET PENG & CIK INANI SURYANI

KUMPULAN B :
1) Kwek Sir Xiong (P2) 2) Tan Ming Hong (P2)
Guru : CIK NORHAYATI SAMSUDDIN

KUMPULAN C : - TIADA MURID YANG HADIR

KUMPULAN D :
1) Chia Pu Xien (1K2) 2) Wan Muhammad Afiq (1K3)
Guru : CIK SYARIFAH NORKHAIRANI & CIK ROHASLYNA BAHARUDDIN

KUMPULAN E :
1) See Li Jia (T2) 2) Ng Cer Sam (T2)
Guru : CIK NUR ADILAH GHAZALI & CIK SITI NUR FAQIAH IBRAHIM


Selain itu, projek membina semula longkang sekolah (antara bangunan Blok B & C) yg telah dimulakan sejak minggu lepas sedang giat dijalankan. Kemungkinan juga ruang kosong antara 2 blok bangunan itu (depan koperasi & Kedai Buku) akan dijadikan tempat riadah bagi murid-murid.

Di Bilik Peperiksaan Cik Fuziellah sedang sibuk mengemaskini senarai nama murid 2010. Beberapa orang guru lain juga hadir ke sekolah untuk menyelesaikan tugas masing-masing, termasuklah mengemaskini surat-surat ketidakhadiran murid ke sekolah setelah sekolah berakhir pada 20 NOV lepas. Guru Majalah bahagian ICT (Encik Awang Mahadi dan Pn. Zulfazilah) juga sedang bertungkus-lumus menyiapkan e-majalah SMKTP 2009...!

Isnin pertama cuti sekolah, semuanya masih sibuk dengan tugas masing-masing... Cuti Sekolah maksudnya murid tak perlu datang ke sekolah mengikut jadual harian seperti biasa, tetapi guru-guru tetap datang bertugas jika diperlukan @ diminta @ diarahkan ..../rbj

Saturday, November 21, 2009

BERMULA CUTI PERSEKOLAHAN 2009

Cuti persekolahan akhir tahun telah bermula dari 21/11/09 hingga 03/01/10.

Selamat bercuti diucapkan kepada murid-murid dan semua guru SMKTP. Semoga cuti ini dapat dimanfaatkan dengan sesuatu yang berfaedah. Kepada semua guru diharapkan bersedia jika terpaksa bertugas semasa cuti ini sekiranya diperlukan. Ini termaktub dalam pekeliling yang dikeluarkan oleh KPM.

Walaupun sekolah sudah mula bercuti, beberapa aktiviti masih berjalan sebagaimana yang telah dijadualkan, terutamanya Kelas Intervensi Bahasa Melayu yang dikendalikan oleh beberapa orang guru yang baru melaporkan diri di SMKTP.

16 & 15 Disember merupakan tarikh pemulangan buku teks SPBT bagi murid-murid Tingkatan 5 yang sedang menduduki SPM sekarang.

Minggu terakhir sebelum sesi 2010 bermula, merupakan minggu yang agak sibuk di sekolah. Pada minggu tersebut mesyuarat Kurikulum dan mesyuarat Panitia mata pelajaran akan dijalankan; Pendaftaran Murid Tingkatan 1, dan Keputusan Peperiksaan PMR. akan dikeluarkan.

Tahun 2009 diakhiri dengan Mesyuarat Guru 1/2010 yang akan dijalankan di M.S Garden Hotel, Kuantan pada 31 DISEMBER 2009, pukul 8.30 pagi - 12.30 tengah hari.

4 Januari 2010, bermula sesi persekolahan tahun baru 2010...../rbj

Wednesday, November 18, 2009

SPM Bermula.... cuti sekolah tak lama lagi...

Esok 18 NOVEMBER, bermulalah Peperiksaan SPM bagi tahun 2009.

Kertas peperiksaan yang akan diduduki oleh mereka pada hari pertama ialah BM 1, Sejarah 2 dan BM2. Mereka akan menduduki peperiksaan sehingga 17 Disember 2009.

Selamat menduduki peperiksaan SPM, semoga akan mendapat kejayaan yang cemerlang...

Kepada semua guru, diharap dapat menyelesaikan tugasan akhir tahun dengan sempurna sebelum memulakan cuti panjang. Guru-guru yang perlu bertugas secara bergilir-gilir sepanjang cuti ini, diharap dapat menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik.../rbj

Monday, November 16, 2009

Minggu Terakhir Persekolahan 2009




Pagi tadi merupakan perhimpunan rasmi terakhir bagi murid-murid sesi pagi 2009. Perhimpunan pada pagi ini hanya melibat murid-murid Ting. 3 & Ting. 5. Murid Tingkatan 4 diberi pelepasan pada hari ini. Semua murid diingatkan tentang perlunya mereka mematuhi peraturan sekolah walaupun hanya tinggal beberapa hari lagi sekolah akan mula bercuti. Perkara ini ditegaskan khusus kepada murid-murid Tingkatan 5 yang akan menduduki SPM agar menjaga imej sekolah.

Pagi tadi juga berlangsung Majlis Restu Ilmu SPM untuk murid-murid Tingkatan 5. Semua guru yang mengajar ting. 5 berada di dewan bersama calon-calon SPM 2009.

Selepas Majlis Restu Ilmu, murid-murid yang bakal menduduki SPM ini mula menyusun kerusi meja di dewan/ bilik peperiksaan dengan pengawasan guru yang telah ditetapkan. Kerja-kerja penyusunan dewan/ bilik peperiksaan ini selesai sebelum pukul 12 tengah hari.

Bagi murid-murid Tingkatan 3 pula, yang berjumlah lebih kurang 120 orang murid menjalani aktiviti bebas di dewan dengan pengawasan guru mata pelajaran. Ada yang bermain permainan dalaman seperti 'UNO', Saidina, Monopoly dan sebagainya. Tidak kurang juga yang membantu guru membersihkan dewan serta melakukan kerja-kerja lain atas arahan guru. Murid Ting 3 diberi pelepasan pada hari Selasa, Rabu dan Jumaat. Mereka akan datang pada hari Khamis ini yang merupakan hari terakhir mereka bagi sesi 2009.

Esok murid Tingkatan 5 diberi pelepasan sebelum menduduki SPM pada hari Rabu ini bersamaan 18 NOVEMBER 2009. Murid Ting 4 akan hadir ke sekolah esok, Rabu dan Jumaat.

Esok 17 November 2009, merupakan Hari Pelaporan Akademik bagi murid Ting. 1, 2 & 4.

Minggu-minggu terakhir yang penuh dengan aktiviti..../rbj

Thursday, November 12, 2009

Jamuan RIMUP mengakhiri Program Selepas PMR






Syukur kepada Tuhan, pagi tadi Jamuan RIMUP bagi murid-murid Tingkatan 3 telah berjaya dilaksanakan. Aktiviti ini mengakhiri Progam Selepas PMR yang telah dijalankan selama lebih daripada 3 minggu. Esok dan minggu hadapan murid T3 akan datang seperti biasa mengikut jadual yang telah ditetapkan dan mereka akan menjalankan aktiviti bebas sama ada di bilik darjah ataupun di dewan dengan pemantauan guru mata pelajaran masing-masing.

Jumlah kehadiran murid pagi tadi boleh dianggap yang tertinggi selepas peperiksaan PMR berlangsung. Hari ini seramai lebih kurang 240 murid hadir ke sekolah. Mereka hadir ramai-ramai untuk memeriahkan Majlis Jamuan RIMUP yang dianjurkan untuk mereka....!

Semua murid nampak seronok dan gembira berada di meja bulat bersama rakan-rakan yang terdiri daripada pelbagai kaum. Juadah yang enak menambahkan lagi 'warna' majlis pada hari ini. Cuaca yang cerah tanpa tanda-tanda hari akan hujan, seolah-olah turut 'meraikan' majlis pada pagi ini.

Majlis dimulakan dengan ucapan daripada PK HEM SMKTP, Puan Noor Aini Muhammad (PK HEM) dan diikuti dengan ucapan Pengetua SMKTP, Encik Moy Wah Goon. Majlis serikan dengan persembahan nyanyian daripada pemenang pertandingan Karaoke. Upacara penyampaian hadiah pula diselang-selikan dengan acara cabutan bertuah.

Diharap konsep RIMUP yang hendak diterapkan dalam kalangan murid dapat mencapai matlamat, seterusnya dapat menjayakan wawasan pemimpin negara ke arah '1 MALAYSIA'.


Ucapan penghargaan dan jutaan terima kasih kepada barisan AJK Jamuan RIMUP yang bertungkus-lumus sejak awal pagi pagi memastikan semua murid mendapat tempat duduk masing-masing dan dapat makan dengan selesa. Pihak AJK telah menjangka 'limpahan' murid akan berlaku pada pagi ini dan langkah-langkah 'tertentu' telah diambil.

Tahniah dan terima kasih juga diucapkan kepada murid Ting. 3 kerana menunjukkan disiplin yang baik sepanjang majlis berlangsung. Mereka tidak berganjak dari tempat duduk sehinggalah majlis berakhir....

'BERSATU BERTAMBAH JITU" ... / rbj

Wednesday, November 11, 2009

Perkasakan Peraturan Sekolah

Peraturan sekolah merupakan satu persetujuan yang diakui bersama oleh warga sekolah dalam mengawal disiplin dan tingkah laku manusia yang berada di dalamnya.

Maksud peraturan ialah undang-undang yang ditetapkan untuk menentukan ketenteraman, keharmonian dan kelicinan perjalanan aktiviti-aktiviti dalam masyarakat atau sekolah.

Tujuan peraturan ini dibuat adalah untuk mengawal tingkahlaku dan melicinkan perjalanan hidup warga sekolah supaya proses pembentukan jati diri dan pendidikan berjalan lancar tanpa ada sebarang gangguan. Apabila terdapat gangguan yang tidak diingini berlaku, ia akan menyebabkan sistem pendidikan yang dirancang tidak dapat dijalankan dengan teratur dan secara tidak langsung ia juga membantutkan usaha pembentukan nilai-nilai murni. Usaha pembentukan nilai murni ini adalah penting bagi setiap murid untuk menghadapi situasi yang sebenar dalam alam kehidupan realiti.

Walaupun sesi persekolahan 2009 sudah hampir ke penghujung, pihak sekolah terus berusaha untuk memastikan murid-murid mematuhi peraturan sekolah.

Kebiasaannya, pada minggu-minggu terakhir ini, murid cenderung menyimpan rambut panjang, datang lewat ke sekolah atau memakai pakaian seragam yang tidak lengkap. Apabila ditanya, mereka akan memberi pelbagai alasan. Murid yang tidak mematuhi peraturan sekolah tetap akan diambil tindakan keras dengan memanggil ibu bapa / penjaga, untuk membawa anak-anak mereka balik ke rumah..../ rbj

Tuesday, November 10, 2009

RIMUP : Konsep, Matlamat & Objektif

RANCANGAN INTEGRASI MURID UNTUK PERPADUAN (RIMUP)

KONSEP

* RIMUP ialah satu program yang menggalakkan penglibatan masyarakat setempat, para guru dan kerjasama murid-murid dalam kegiatan-kegiatan khas serta penggunaan bersama kemudahan, peralatan, penggemblengan tenaga dan kepakaran.

MATLAMAT

* Matlamat Rimup adalah untuk melahirkan generasi Malaysia yang berilmu pengetahuan, memiliki jiwa dan peribadi yang unggul, bersemangat muhibah dan mapu menghadapi cabaran secara kolektif dan bersepadu.

OBJEKTIF RANCANGAN

RIMUP menggariskan empat objektif utama iaitu:

* Menggalakkan penyertaan masyarakat setempat, para guru dan muird serta warga sekolah dari peringkat sekolah rendah hingga sekolah menengah dalam kegiatan-kegiatan khas secara bersama.

* Mewujudkan sikap kerjasama, tolong-menolong dan mewujudkan suasana muhibah secara sedar dan terancang.

* Melahirkan persefahaman dan toleransi antara muird pelbagai kaum di sekolah.

* Berkongsi kemudahan, peralatan, tenaga dan kepakaran untuk menjayakan kegiatan-kegiatan khas secara bersama-sama.

Sama-samalah kita jayakan ke arah 1 MALAYSIA ... /rbj

Monday, November 9, 2009

Perhimpuan Rasmi Akhir 2009

Pagi tadi merupakan perhimpunan rasmi terakhir sebelum sekolah bercuti melibatkan semua murid sesi pagi. Beberapa pesanan dan peringatan telah disampaikan oleh PK HEM, Puan Noor Aini Muhammad dan Pengetua SMKTP.

PK HEM telah mengingatkan murid-murid tentang kehadiran murid ke sekolah. Murid diingatkan agar sentiasa hadir ke sekolah walaupun peperiksaan PMR & Peperiksaan Akhir Tahun sudah berakhir.

Pihak sekolah akan terus mengeluarkan surat amaran mengikut jumlah hari tidak hadir. Pihak sekolah juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan mengeluarkan surat buang sekolah kepada mereka yang mencapai jumlah tidak hadir sebanyak 30 hari berturut-turut atau 60 hari secara berkala.

Murid yang dibuang sekolah tidak akan diberi Sijil Berhenti Sekolah.

Tuan Pengetua, Encik Moy Wah Goon juga mengingatkan semua murid, terutama murid Tingkatan 5 tentang perkara yang perlu diselesaikan. Antaranya ialah :

1) melengkapkan borang-borang yang diperlukan
2) melengkapkan Buku Kokurikulum
3) memulangkan buku SPBT mengikut tarikh yang telah ditetapkan
4) memulangkan buku yang dipinjam di perpustakaan
5) melunaskan bayaran yuran tambahan

Sekiranya murid-murid gagal menyelesaikan perkara-perkara di atas, keputusan peperiksaan sama ada PMR atau SPM akan ditahan... /rbj

Sunday, November 8, 2009

Minggu-minggu terakhir persekolahan ...




Dalam masa 2 minggu lagi sekolah akan bercuti panjang...

Murid Tingkatan 3 terlibat dengan Aktiviti Selepas PMR. Walaupun peratus kehadiran murid tidak begitu memuaskan, tetapi terdapat juga sebilangan murid yang hadir setiap hari ke sekolah walaupun PMR sudah lama berlalu. Pelbagai aktiviti telah dirancang untuk mereka. Dalam banyak-banyak aktiviti, jelas sekali sambutan terhadap aktiviti lawatan, pertandingan memasak dan pertandingan karaoke mendapat tempat utama. Mereka juga teruja sekali dengan demonstrasi menghias kek & bersolek yang diadakan pada minggu lepas. Setakat ini aktiviti Sukaneka masih tidak dapat dijalankan walaupun ada dalam jadual disebabkan oleh keadaan cuaca yang tidak mengizinkan. Mungkin minggu depan, aktiviti tersebut dapat diadakan...

Murid T4, T2 & T1 pula sudah habis menduduki Peperiksaan Akhir Tahun. Sekarang hanya menunggu keputusan peperiksaan. Mereka juga telah memulangkan buku teks masing-masing mulai minggu lepas.

Bagi murid T5, inilah saat-saat penting untuk mereka mendapatkan 'tips' atau nasihat akhir daripada guru mata pelajaran masing-masing. Hanya tinggal 10 hari lagi untuk mereka menduduki Peperiksaan SPM...

Minggu-minggu terakhir ini banyak perkara yang perlu diselesaikan oleh guru-guru, terutama Guru Tingkatan. Walaupun sibuk dengan pelbagai tugasan, jangan sampai lupa untuk masuk ke kelas...! .../rbj

Saturday, November 7, 2009

Personel & Pengurusan HEM

Personel adalah komponen yang paling penting dalam sesuatu organisasi. Kualiti pengurusan sesebuah organisasi dan keluarannya bergantung terus kepada kualiti personelnya. Oleh hal yang demikian, semua personel dalam pengurusan HEM sama ada profesional atau bukan profesional hendaklah sentiasa segar dari segi pengetahuan dan latihan mereka. Terdapat beberapa ciri kualiti yang perlu ada pada personel HEM daripada Pengetua, Pen. Kanan HEM, kaunselor dan staf –staf yang lain iaitu:

1) Komited terhadap pengurusan HEM.

2) Berkemahiran mengenalpasti dan memahami permasalahan pelajar dan menyelesaikannya.

3) Berpengalaman memahami perkembangan personaliti pelajar.

4) Berinisiatif untuk menjayakan pengurusan HEM.

5) Berupaya mewujudkan suasana yang selamat dan kondusif untuk aktiviti pengajaran dan
pembelajaran (P & P) Unit Hal Ehwal Murid di Sekolah

Unit Hal Ehwal Murid (HEM) atau di sesetengah sekolah dinamakan seperti Majlis HEM, Unit Personalia Pelajar dan lain-lain yang membawa konotasi yang sama adalah satu unit yang diwujudkan di bawah pengelolaan Penolong Kanan (HEM) di sekolah-sekolah untuk menguruskan perkhidmatan hal ehwal murid.

Peranan utama unit ini adalah untuk mengendalikan pelbagai program dan perkhidmatan serta pengurusan yang tersirat dalam kurikulum sekolah sama ada berupa akademik atau kokurikulum iaitu:

1) Merancang program aktiviti dan teknik pelaksanaan semua aktiviti untuk per kembangan sahsiah pelajar.

2) Menyelaras, menyelia dan menilai pelaksanaan aktiviti pelajar.

3) Mempertingkatkan akhlak dan nilai hidup pelajar, membina personaliti dan membentuk sikap pelajar yang positif dan progresif.

4) Mengawasi keselamatan, menjaga kesihatan dan memelihara kebajikan pelajar.

5) Membina semangat kasih sayang kepada diri sendiri, ibu bapa, agama dan negara.

.../ rbj

Wednesday, November 4, 2009

Jamuan RIMUP 2009 (2)


Hasil daripada mesyuarat J/K Jamuan RIMUP yang diadakan tengah hari tadi, beberapa ketetapan telah diambil.

1) Tarikh : 12 NOVEMBER 2009 (Khamis)

2) Masa : 9.30 - 11.30 pagi

3) Tempat : Dewan Serbaguna SMKTP (pagi berkenaan, sebelum jamuan bermula murid berhimpun di dewan blok baru - untuk beri laluan kepada pihak katerer menyusun meja & kerusi di dewan utama)

4) Sasaran : semua murid Tingkatan 3 (berdasarkan purata kehadiran pada minggu ini)

5) Kedudukan murid disusun / atur berdasarkan konsep RIMUP.

6) Bentuk Jamuan : diadakan dalam bentuk hidang -10 orang satu meja. Ini bertujuan untuk mengurangkan pergerakan murid daripada tempat duduk yang telah ditetapkan berdasarkan konsep RIMUP.

7) Atur cara majlis :
- Ucapan alu-aluan Pengerusi
- Ucapan Pengetua
- Jamuan
-Persembahan (daripada pemenang pertandingan karaoke)
-Penyampaian hadiah

8) Semua guru dijemput hadir :
- Barisan pentadbir
- Guru T3
-AJK Jamuan RIMUP
- AJK Aktiviti Selepas PMR
- Guru-guru lain mengikut kesesuaian waktu mengajar masing-masing

9) Jemputan : YDP & AJK PIBG

Semoga apa yang dirancang ini akan dapat dilaksanakan dengan jayanya.../rbj

Tuesday, November 3, 2009

Jamuan RIMUP 2009 (1)



Esok (4 NOV 2009 - RABU) akan diadakan mesyuarat AJK Jamuan RIMUP bertempat di Makmal Kimia (2) bermula pada pukul 1.00 th.




Jawatankuasa Jamuan RIMUP 2009 :

Penasihat : ENCIK MOY WAH GOON
Pengerus i : PUAN NOOR AINI BT. MUHAMMAD
Setiausaha : PUAN ROSHANILAWATEY BT. JUSOH
Bendahari : PUAN ROHANI BT. DERAMAN

AJK Kecil

1) Jemputan : ENCIK ENG JENG HONG

2) Jamuan :
PUAN MAZIAH BT. ABDULLAH
PUAN NOR EKELIDA BT. ZAKARIA
PUAN ROSNI BT. CHE HAK

3) Penyediaan tempat :
ENCIK NAZRI B. MAMAT
ENCIK CHIN WAI FATT
CIK WANG MEI LIAN

4) Penyusunan & Kawalan Murid : SEMUA GURU TINGKATAN 3

5) Back drop : PUAN SARIMAH BT. ISMAIL

6) Juruacara majlis : PUAN ROHANI BT. DERAMAN

7) Pamphlet : PUAN ROSHANILAWATEY BT. JUSOH

8) Jurufoto : PUAN LAILATUL ADAWIYAH BT. ABDUL RAHIM

9) Alat Siaraya : ENCIK SEE KOON SUAN & PENGAWAS BERTUGAS

Friday, October 30, 2009

Aktiviti murid di sana-sini...





Aktiviti murid Tingkatan 3 selepas peperiksaan PMR berjalan sebagaimana yang dirancang... walaupun kehadiran murid semakin merosot dari hari ke hari...!

Setiap hari mereka akan dikumpulkan di dewan utama sekolah. Murid-murid yang tidak mengambil bahagian dalam pertandingan yang diadakan, akan melakukan aktiviti bebas dengan pengawasan guru di dewan. Pelbagai aktiviti boleh disertai oleh mereka, seperti bermain congkak, catur, karom dan kad uno. Ada juga yang bermain badminton, ping pong serta bola keranjang...

Program selepas PMR akan berakhir pada 13 NOVEMBER 2009 dengan majlis penyampaian hadiah dan juga Jamuan RIMUP yang melibatkan semua murid Ting.3.

Thursday, October 29, 2009

SMKTP Juara Futsal RIMUP




Hari ini Khamis 29 OKTOBER 2009, telah berlangsung pertandingan integrasi Futsal dan Badminton (RIMUP) dengan sekolah kelompok, iaitu SMK Paya Besar.

Pasukan Futsal SMKTP telah berjaya mengalahkan SMK Paya Besar dan keluar sebagai pemenang.. Bagi acara badminton pula, kita kalah tipis dengan pasukan tuan rumah. Walau bagaimanapun, semangat berpasukan dan perpaduan yang ditunjukkan oleh para pemain patut dipuji. Para penyokong yang dibawa khas seramai 20 orang tidak putus-putus memberi semangat kepada pasukan futsal SMKTP...

Semua peserta diberi sijil penyertaan dan cenderamata daripada tuan rumah berupa sebuah beg bimbit. Dua hamper juga turut dibawa pulang oleh peserta yang mengambil bahagian. Sebuah plak tanda kenangan daripada SMK Paya Besar sempena program pertandingan RIMUP ini juga diberi kepada sekolah yang mengambil bahagian.

Tahniah & syabas kepada semua pemain dan penyokong pasukan SMK Tanah Putih.../rbj

Tuesday, October 27, 2009

Aktiviti RIMUP Sekolah Berkelompok

Pertandingan Integrasi Futsal dan Badminton akan diadakan di SMK Paya Besar pada hari Khamis ini... Pertandingan yang melibatkan murid Melayu, Cina dan India ini bertujuan untuk memperkasa perpaduan dalam kalangan murid sekolah.

Thursday, October 22, 2009

SMM @ BMM lagi....



SMM @ BMM muncul lagi....kini, aplikasi SMM versi 4...

Semua guru tingkatan diminta melengkapkan maklumat tambahan murid menggunakan aplikasi terkini!

Pada 14 Oktober 2009 (Rabu), satu taklimat telah diadakan untuk semua guru tingkatan berkait dengan perkara di atas. Guru tingkatan perlu melengkapkan semua maklumat murid dan menyerahkannya kepada Guru Penyelaras SMM/ BMM sekolah pada 23 Oktober 2009 (Jumaat). Semua maklumat ini perlu disemak dan digabungkan terlebih dahulu sebelum dihantar ke PPD.

Guru-guru tingkatan menghadapi sedikit masalah untuk mendapatkan semula Borang Maklumat Murid (Edisi Tambahan) yang telah diedarkan kepada murid pada hari Khamis (sebelum cuti Deepavali), terutama sekali daripada murid Tingkatan 3.

Gara-gara SMM/ BMM, Makmal IT menjadi 'rebutan' guru-guru tingkatan.

Esok... semuanya perlu diselesaikan...! /rbj

Tuesday, October 20, 2009

Murid Ting. 3 Hantar Buku Teks



Sehari selepas selesai PMR, semua murid Tingkatan 3 telah diminta menghantar buku teks (SPBT) kepada pihak sekolah. Perkara ini telah dimaklumkan kepada semua murid sebelum peperiksaan PMR berlangsung. Urusan pemulangan SPBT ini dilakukan selama 2 hari iaitu pada 14 Okt & 15 Okt. 2009

Walau bagaimanapun, ada juga murid yang tidak hadir ke sekolah untuk menyelesaikan urusan pemulangan buku teks. Ini menimbulkan kesulitan kepada guru SPBT dan juga Guru Tingkatan yang terlibat. Murid-murid yang hadir ke sekolah tetapi terlupa membawa buku teks diminta menghubungi ibu bapa/ penjaga masing-masing untuk membawa buku teks ke sekolah pada hari yang telah dijadualkan.

Semua Guru Tingkatan dikehendaki menyerahkan borang pemulangan SPBT yang telah ditandatangani oleh murid-murid selewat-lewatnya pada hari Jumaat, 23 Oktober 2009.

Thursday, October 1, 2009

Jamuan Aidilfitri SMKTP



Kelab Staf SMKTP telah menganjurkan jamuan sempena hari raya Aidilfitri pada hari Rabu, 30 SEPTEMBER 2009. Jamuan tersebut telah diadakan di kantin sekolah bermula pukul 12.50 tengah hari. Seawal 12.30 th guru-guru telah mengambil tempat di kantin. Guru-guru yang ada kelas pada waktu akhir hanya dapat berkumpul pada pukul 12.50 th.

Menurut Pengerusi Kelab Staf, Tuan Haji Abdul Razak B. Yahya, majlis seumpama ini bertujuan untuk merapatkan hubungan antara guru. Bukan selalu kita dapat berkumpul begini dan tentu sekali majlis ini dapat meningkatkan kemesraan dalam kalangan warga SMKTP yang ramai ini....

Jamuan hari raya kali ini berkonsepkan 'pot-luck'. Walaupun agak sederhana, tetapi cukup meriah dengan pelbagai juadah. Ada sate, ketupat palas, nasi impit dan kuah kacang, pulut kuning & rendang palembang, roti jala, mi kari dan pelbagai lagi ... /rbj




Monday, September 28, 2009

PEMULANGAN BUKU - SPBT - MURID TING. 3


Mulai minggu hadapan murid-murid Ting. 3 akan menduduki Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang akan bermula pada 7 Okt - 13 Okt 2009.

Sehubungan dengan itu, Guru Penyelaras SPBT SMKTP, Puan Zuraidah Bt. Ahmad telah mengumumkan (semasa perhimpunan pagi tadi) bahawa pemulangan buku teks bagi murid-murid Tingkatan Tiga akan diadakan pada 14 & 15 Oktober, iaitu sehari selepas Peperiksaan PMR berakhir. Satu jadual akan dikeluarkan bagi memudahkan urusan tersebut.

Proses pemulangan buku SPBT itu akan bermula pada pukul 9.00 pagi. Guru-guru Tingkatan 3 diharapkan dapat menyemak dan melengkapkan borang pemulangan (berserta tandatangan murid) sebelum menghantar buku-buku tersebut ke bilik SPBT/ tempat yang telah ditetapkan.. Pastikan bilangan buku yang dipulangkan dicatat dengan betul.

Pada 14 Oktober, antara pukul 9.00 - 10.10 pagi, kelas-kelas yang telibat ialah 3K10, 3K11, 3K12 & 3K13. Selepas rehat bermula pada pukul 11.00 pagi - 12.00 th, kelas yang terlibat ialah 3K7, 3K8 & 3K9.

Pada 15 Oktober pula, bermula dari pukul 9.00 - 10.10 pagi, kelas yang telibat ialah 3K1, 3K2, 3K3, 3K4, 3K5 & 3K6.

Pihak pengurusan SPBT sekolah mengharapkan kerjasama daripada semua guru tingkatan 3 dan murid tingkatan 3 bagi melancarkan proses pemulangan buku teks pada hari berkenaan. /rbj

Tuesday, September 15, 2009

Majlis Sempena Bulan Kemerdekaan


Esok, Rabu, 16 SEPTEMBER 2009, akan diadakan satu majlis sempena Bulan Kemerdekaan peringkat sekolah. Majlis dimulakan pada pukul 7.30 pagi dan diijangka berakhir ada pukul 9.30 pagi. Selepas rehat, murid Tingkatan 3 akan menduduki peperiksaan PraPMR.

Perayaan Bulan Kemerdekaan ini diraikan di seluruh Negara oleh setiap lapisan masyarakat bermula pada 16 Ogos sehingga 16 September pada setiap tahun. Cuma, pada tahun ini perayaan kemerdekaan diadakan secara yang paling sederhana di seluruh negara, begitu juga di SMKTP. Tema perayaan Bulan Kemerdekaan pada tahun ini ialah “SATU MALAYSIA RAKYAT DIDAHULUKAN PENCAPAIAN DIUTAMAKAN"

Majlis yang diadakan secara paling sederhana ini bertujuan untuk mengenang kembali detik bersejarah yang berlaku di Negara kita 52 tahun yang lalu, iaitu Pemasyhuran Kemerdekaan (31 ogos 1957), serta penubuhan negara Malaysia yang kita cintai ini pada 16 SEPTEMBER 1963.

Cadangan atur cara majlis adalah seperti berikut :

1) Upacara menaikkan bendera. Nyanyian lagu Negeri Pahang, lagu Negaraku dan lagu Sekolah

2) Ucapan Alu-aluan oleh Juruacara Majlis

3) Ucapan Pengetua SMKTP

4) Persembahan
- Deklamasi Sajak B. Malaysia
- Tarian Kebudayaan
- Deklamasi Sajak Bahasa Ingg
- Persembahan Panitia Sejarah
- Persembahan Panitia Pend. Moral
- Koir oleh Kelab Koir SMKTP

5) Penyampaian cenderamata

6) Nyanyian beramai-ramai lagu patriotik “Jalur Gemilang” dan “Tanggal 31” /rbj

Foto : Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat Sekolah 2008

Wednesday, August 26, 2009

Kibaran Jalur Gemilang di SMKTP

Perayaan Bulan Kemerdekaan disambut oleh semua warganegara mulai 16 OGOS sehingga 16 SEPTEMBER pada setiap tahun, tidak terkecuali warga SMKTP.

Walaupun pada tahun ini sambutannya terasa agak 'sunyi' di SMKTP disebabkan sibuk dengan Peperiksaan Percubaan PMR, cuti Pertengahan Semester Kedua dan juga bahana H1N1, kita tidak boleh mengabaikan perayaan tersebut dan sambutan tetap diadakan dalam keadaan yang paling sederhana.

Mulai hari Selasa, 25 Ogos 2009 (selepas SMKTP bebas daripada kuarantin selama 7 hari), Jalur Gemilang mula dikibarkan di dalam kawasan sekolah, terutama sekali di dewan utama dan juga di bahagian hadapan pagar sekolah. Mulai esok, banyak lagi Jalur Gemilang akan dipasang di sepanjang laluan dan juga tempat-tempat strategik di dalam kawasan sekolah. Kibaran Jalur Gemilang ini pasti akan memeriahkan lagi perayaan ulangtahun Kemerdekaan negara buat kali ke-52 pada tahun ini.

Kibaran Jalur Gemilang pasti memarakkan lagi patriotisme dalam kalangan warga SMKTP ! /rbj

Tuesday, August 18, 2009

H1N1 : Saringan Suhu Badan Murid


Pagi tadi sebelum memulakan Peperiksaan Percubaan PMR Kertas Bahasa Inggeris (1), Guru-guru Tingkatan 3 telah diarah untuk melakukan pemeriksaan suhu badan murid masing-masing. Murid yang mempunyai suhu badan melebihi 37 darjah celcius diletakkan di bilik darjah yang berasingan. Murid-murid juga dibekalkan dengan 'face mask' dan mereka dikenakan bayaran sebanyak 30 sen. Mereka dikehendaki memakainya sepanjang masa.

Hasil daripada pemeriksaan suhu badan murid, didapati ramai murid yang mempunyai suhu badan melebihi 37 darjah celcius, malahan ada yang mencecah 39.5 ! Mereka dihimpunkan di dalam 2 buah bilik darjah dan diselia oleh Puan Rohani Deraman, Kaunselor sekolah. Sebenarnya, ramai murid T3 datang ke sekolah semalam dan hari ini kerana ingin menduduki PEPERIKSAAN PERCUBAAN PMR, walaupun mereka tahu bahawa mereka tidak sihat !

Setelah dikenalpasti terdapat ramai murid yang tidak sihat, ditambah pula kebimbangan yang disuarakan oleh guru-guru dan ibu bapa, pihak sekolah telah mengambil keputusan bijak untuk menutup sekolah sepenuhnya bermula hari ini bagi mengelakkan penularan virus influenza A H1N1. Lebih kurang pada pukul 10.00 pagi tadi, semua murid Tingkatan 3 dibenarkan pulang dan mereka diberi surat pemberitahuan tentang cuti tersebut untuk disampaikan kepada ibu bapa/ penjaga. Mereka dikuarantikan di rumah selama 7 hari !

Sebelum itu, murid-murid T4 dan T5 telah dibenarkan pulang setelah kedatangan mereka diambil. Sebelum dibenarkan pulang, satu taklimat lengkap telah diberi oleh PK HEM, sebagai panduan / langkah-langkah yang perlu diambil oleh mereka sepanjang tempoh kuarantin tersebut.

Cegah Sebelum Parah ...!

Foto : Guru Tingkatan sedang memeriksa suhu badan murid... /rbj

Cekik Darah

Permintaan yang tinggi terhadap 'face mask' & 'hand rub sanitizer' menyebabkan harga barangan tersebut meningkat berkali ganda daripada harga asal. Keadaan ini menyebabkan tempahan awal yang dibuat oleh pihak sekolah daripada pembekal terpaksa dibatalkan...!

Perkara ini telah menjadi isu yang perlu diberi perhatian dalam keadaan negara sedang menghadapi wabak Influenza A H1N1. Kerajaan sedang menimbangkan untuk menjadikan 'face mask' sebagai barang kawalan bagi mengelakkan pembekal menaikkan harga sewenang-wenangnya.

Monday, August 17, 2009

H1N1 : Sekolah Cuti Sebahagian.

Sekolah akan diberi cuti sebahagian mulai esok bagi sesi petang, murid T5 dan murid T4.

Esok pagi, semua murid Tingkatan 3 akan diambil suhu badan. Murid yang mempunyai suhu badan yang tinggi akan diasingkan dan akan mengambil peperiksaan secara berasingan. Peperiksaan akan dimulakan setelah selesai suhu badan murid diambil.

Sebenarnya hari ini terdapat murid tingkatan 3 yang tidak sihat, demam & batuk yang hadir ke sekolah untuk menduduki peperiksaan.! Oleh itu, esok semua murid perlu diperiksa suhu badan terlebih dahulu sebelum masuk kelas.

Murid T4 & T5 pula akan berhimpun di dewan untuk diambil kedatangan oleh semua guru tingkatan yang terlibat. Selepas itu taklimat khas akan disampaikan sebelum mereka dibenarkan pulang dan bercuti sehingga 24 Ogos. (Sebenarnya sehingga Jumaat ajelah, kerana selepas itu sudah mula cuti pertengahan semester...) Mereka akan dikuarantinkan di rumah !!!

Guru yang mengajar Ting. 4 & 5 (sahaja) juga akan diberi pelepasan seperti murid T 4 & T5. Dikuarantin di rumah juga...!!! Guru yang mengajar Ting. 3 dan Ting 4 atau yang mengajar T3 dan T5 perlu hadir ke sekolah seperti biasa. Mereka akan diberi 'tugas khas' menjaga murid T3 yang diasingkan di bilik-bilik tertentu untuk menduduki peperiksaan percubaan PMR.

Jadi, semua warga SMKTP perlu jelas, sekolah hanya diberi cuti sebahagian; bukannya tutup terus.!

Itulah maklumat terkini yang diterima daripada PK Hem... harap maklum..../rbj

Sunday, August 16, 2009

Barber Corner @ SMKTP


Masih ada murid yang 'terlupa' untuk memotong rambut atas pelbagai alasan... Agaknya mereka mahu guna 'khidmat percuma' menggunting rambut di SMK Tanah Putih.

Sebenarnya ada sekolah yang menyediakan khidmat menggunting rambut di sekolah dengan mengenakan sejumlah bayaran tertentu. Kedai gunting rambut itu dikendalikan oleh murid-murid melalui Kelab Kemahiran Hidup, contohnya di SMK Batu Gajah, Tanah Merah, Kelantan.

Dalam Buku Peraturan Sekolah, ada garis panduan yang perlu dipatuhi oleh semua murid tentang cara berpakaian, termasuk rambut...! / rbj

Friday, August 14, 2009

H1N1 : Hand Rub Sanitizer untuk Murid



Hari ini, pihak sekolah membekalkan 'hand rub sanitizer' kepada semua kelas melalui guru tingkatan masing-masing. Puan Adhipah Kandar selaku guru penyelaras unit kesihatan sekolah telah mengedarkan satu botol sanitizer jenis cuticura kepada semua guru tingkatan.

Setiap pagi guru tingkatan akan memastikan tangan murid-murid disapu/ cuci dengan sanitizer yang dibekalkan. Guru tingkatan akan menyimpannya dan akan digunakan semula pada keesokan pagi.

Ini merupakan salah satu langkah untuk mengelakkan penyebaran virus influenza H1N1.

Utamakan kebersihan diri.../rbj

Thursday, August 13, 2009

Cakna Sentiasa


Beberapa peringatan telah disampaikan oleh Pengetua & juga PK (HEM) kepada murid-murid semasa perhimpunan rasmi pagi tadi. Antaranya berkait dengan isu semasa dan disiplin.

1) H1N1 :

a) "Face mask" untuk cegah H1N1 - Murid-murid digalakkan menggunakan topeng muka (face mask) dan pihak sekolah akan bekalkan kepada murid-murid apabila bekalan tersebut sampai ke sekolah. Pihak sekolah akan memberi subsidi dan murid hanya perlu membayar sebanyak RM0.30 untuk satu 'face mask'.

b) Sanitizer - Pihak sekolah akan bekalkan sanitizer kepada setiap kelas sebagai satu langkah untuk mencegah penularan virus inflenza A (H1N1).

2) Disiplin :

a) Murid-murid perlu tukar baju senaman sebaik sahaja selesai waktu PJK atau selewat-lewatnya sebelum rehat. Murid-murid yang engkar akan dikenakan tindakan kerana telah beberapa kali diberi peringatan untuk berbuat demikan oleh pihak sekolah.

b) Murid-murid juga tidak dibenarkan membawa wang yang banyak ke sekolah. Ini adalah untuk mengelakkan daripada berlaku kecurian. Murid yang membawa barang-barang yang berharga ke sekolah dan meninggalkannya di dalam bilik darjah dianggap sebagai cuai dan ini juga merupakan satu kesalahan.



Tuesday, August 11, 2009

H1N1 : Jabatan Kesihatan + Unit Kesihatan SMKTP




Lanjutan daripada langkah cegah H1N1 di sekolah, hari ini Jabatan Kesihatan telah datang ke sekolah untuk membuat saringan H1N1 ke atas warga SMKTP khususnya murid-murid yang didapati tidak sihat. Kakitangan Jabatan Kesihatan mula membuat saringan / pemeriksaan tersebut bermula pukul 10.45 pagi, bermula dengan murid Tingkatan 3, dikuti oleh murid Tingkatan 4 dan seterusnyanya murid Tingkatan 5.

Pihak Jabatan Kesihatan hanya membuat pemeriksaan terhadap murid-murid yang demam @ selsema memandangkan jumlah murid di SMKTP terlalu ramai....Pada mulanya ramai jugalah murid yang tidak berkenaan beratur panjang di hapadan Bilik Kesihatan Sekolah untuk diperiksa bagi memastikan mereka bebas daripada H1N1 !

Dapatan daripada pemeriksaan tersebut, kakitangan Jabatan Kesihatan yang bertanggungjawab memaklumkan bahawa tidak ada kes demam dengan suhu melebihi 39 darjah celcius. Yang ada hanyalah sekitar 36 - 37 darjah celsius dan ini tidak membimbangkan !

Puan Noor Aini memberitahu pihak Jabatan Kesihatan bahawa tidak ada kes demam / selsema teruk kerana pihak sekolah telah mengarahkan mereka untuk tidak hadir ke sekolah jika mereka demam. Malah, pagi tadi pun masih terdapat ibu bapa/ penjaga yang datang ke sekolah untuk membawa anak mereka pulang ke rumah kerana didapati tidak sihat.

Langkah proaktif pihak sekolah itu mendapat pujian daripada kakitangan Jabatan Kesihatan kerana dapat mengelakkan penularan virus H1N1 dalam kalangan warga SMKTP.

Semua pihak perlu lebih serius menangani wabak H1N1 yang kini mengorbankan banyak nyawa di negara kita ... /rbj

Monday, August 10, 2009

Langkah Cegah H1N1 di Sekolah

Tidak ada perhimpunan rasmi di sekolah pagi ini. Ada pekeliling daripada daripada JPNP yang melarang diadakan sebarang perhimpunan untuk mengelakkan penularan virus influenza A H1N1 di sekolah.

Langkah drastik juga perlu diambil oleh pihak sekolah bagi mencegah penularan virus H1N1 dalam kalangan warga SMK Tanah Putih.

Pagi tadi, atas nasihat Jabatan Kesihatan, pihak sekolah telah meminta semua guru tingkatan menyenaraikan nama murid yang tidak hadir pada hari ini disebabkan demam. Nama-nama tersebut akan diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pahang dengan segera. Didapati ramai juga murid yang tidak hadir ke sekolah pada hari ini.

Selain itu, murid-murid yang didapati tidak sihat, tetapi datang ke sekolah diminta balik dan berehat di rumah. Ibu bapa telah dihubungi / dipanggil untuk membawa anak-anak mereka balik ke rumah. Terdapat ramai juga murid yang tidak datang ke sekolah hari ini kerana demam. Mereka ini dinasihatkan berehat di rumah selama 7 hari.

Guru-guru yang tidak sihat juga dikehendaki mendapatkan rawatan di pusat-pusat kesihatan dan perlu berehat di rumah selama 7 hari.

Cegah Sebelum Parah...! /rbj

Berhati-hati H1N1


Langkah berwaspada perlu diambil bagi mengelakkan diri daripada terkena jangkitan virus H1N1. Sudah beberapa buah sekolah di negeri Pahang diarahkan tutup selama seminggu.

Panduan Penjagaan Kesihatan :
A) Penjagaan Kesihatan Diri di Rumah :
1) Jika demam, makan ubat paracetamol mengikut dos yang disyorkan.
2) Berehat secukupnya.
3) Banyakkan pengambilan cecair (termasuk air mineral, bubur, isotonik, jus buah-buahan dan sup) bagi mengelakkan dehidrasi.
4) Sekiranya mengalami tanda-tanda kecemasan, segera dapatkan rawatan doktor.
5) Pastikan pengudaraan yang baik di rumah (cth : membuka tingkap di bilik, dapur, tandas dan bilik mandi)

B) Nasihat untuk pesakit dan ahli keluarga bagi mengawal jangkitan di rumah.
1. Amalkan adab batuk yang baik
2. Tingkatkan penjagaan kebersihan diri
3. Jangan kongsi peralatan peribadi
4. Menjarakkan diri (Social Distancing)

Tanda & Gejala :
1) Demam
2) Batuk
3) Sakit tekak
4) Sakit-sakit badan
5) Sakit kepala
6) Cirit birit / muntah
7) sesak nafas/ semput/ sakit dada berterusan

Tindakan pencegahan :
1) Segera ke klinik
2) Kerap cuci tangan dengan air bersih
3) Adab / etika batuk
4) Tutup mulut dengan tisu/ sapu tangan apabila batuk/ bersin
5) Elakkan tempat sesak
6) Ketahui situasi semasa

Perhatian :
Penyakit ini boleh berjangkit melalui udara (pernafasan) dan sentuhan !!!!
Jadikan kebersihan amalan diri, keluarga dan masyarakat !

Mencegah Adalah Lebih Baik Daripada Mengubati... / rbj

Saturday, August 8, 2009

Sekolah yang Selamat & Berkesan : Aspek Disiplin

Sekolah yang selamat dan berkesan ialah sekolah yang dibentuk oleh iklim sekolah yang positif. Terdapat 6 faktor utama untuk membentuk iklim yang positif di sekolah, iaitu kepimpinan, disiplin, keselamatan, kehadiran, pengurusan konflik dan kurikulum. Menyatukan semua faktor tersebut dalam bentuk yang kreatif dapat menyediakan rangka bidang yang perlu untuk mewujudkan keadaan sekolah yang aman, damai dan produktif.

Aspek Disiplin :

Di sekolah, disiplin murid mestilah bermula dari bilik darjah. Disiplin dalam bilik darjah adalah sangat perlu untuk memelihara peraturan dan membentuk persekitaran yang akan membantu ke arah pembelajaran.

Prinsip yang utama di bawah disiplin bilik darjah yang positif akan mendorong murid untuk menerima tanggungjawab bagi perilakunya sendiri. Apabila murid-murid memegang tanggungjawab ini, mereka mempunyai tingkah laku yang teratur dengan sedikit atau tanpa tekanan , daripada peraturan di sekolah dan pihak atasan.

Seorang ahli sosiologi, Amitai Etzioni telah menghubungkan pekerjaan murid yang rendah mutunya dengan kekurangan disiplin diri; terutama disiplin diri inteleknya. Mengulas secara umum tentang disiplin, beliau menyatakan bahawa suatu perbezaan yang paling utama bagi sekolah yang berkesan dengan sekolah yang kurang berkesan ialah struktur disiplinnya. (Tugend, A., 1984). Beliau juga menyatakan bahawa struktur disiplin adalah yang paling berkesan apabila ia diterima oleh murid sebagai yang sahih dan tidak sebagai suatu yang dipaksakan daripada pihak atasan.


Friday, August 7, 2009

Telekung

Murid-murid perempuan yang beragama Islam digalakkan menutup kepala dengan memakai mini telekung / tudung berwarna putih serta anak tudung. Rambut hendaklah dimasukkan ke dalam anak tudung dengan rapi.

Sekiranya murid berkenaan mengenakan tudung kepala yang singkat atau anak tudung yang kecil sehingga menampakkan rambut atau dengan sengaja melepaskan rambut yang panjang di sebalik tudung (tanpa menggunakan anak tudung), ini dianggap melanggar peraturan sekolah sebagaimana yang tercatat dalam Buku Peraturan Sekolah yang berwana kuning itu.

Mereka yang tidak mematuhi peraturan pemakaian tudung yang betul akan diberi 'kebenaran khas' memakai telekung labuh (telekung sembahyang bagi wanita) . Mereka perlu memakai telekung tersebut sehingga tamat waktu persekolahan.

Foto : 'bergaya' ....???!!! / rbj

Thursday, August 6, 2009

H1N1 - Langkah awal berjaga-jaga...


Di SMKTP, sudah ramai murid yang mula memakai topeng (mask) untuk menutup mulut dan hidung. Ini merupakan langkah awal untuk menghindarkan diri daripada terkena udara yang tidak bersih. Sejak akhir-akhir ini didapati setiap hari ada murid yang demam selsema dan terpaksa berehat di rumah.

Memakai topeng hidung dan mulut ini adalah antara langkah awal yang perlu diambil bagi menghadapi 'serangan' inlfuenza A (H1N1) yang melanda negara sekarang. Murid-murid juga dinasihatkan sentiasa membasuh tangan mereka setiap kali selepas keluar dari tandas...

"Sediakan payung sebelum hujan... sediakan topeng sebelum 'bersin'....! /rbj

Followers