Sunday, July 12, 2009

Peraturan Sekolah : Satu Kajian Kes (iv)


sambungan daripada entri terdahulu...

BAHAGIAN C : WAKTU PERSEKOLAHAN


1. Hari persekolahan ialah pada hari Ahad, Isnin, Selasa, Rabu, Khamis, dan mana-mana hari lain yang ditetapkan, mengikut Jadual Waktu Persekolahan yang disediakan bagi sesi pagi dan sesi petang.
2. Loceng pertama sekolah akan berbunyi 5 minit sebelum masa persekolahan bermula sebagai loceng isyarat.
3. Murid-murid dikehendaki beratur di luar bilik darjah untuk persediaan masuk ke kelas masing-masing apabila diarahkan oleh guru selepas loceng kedua berbunyi.
4. Murid-murid hendaklah datang lebih awal dari masa persekolahan bermula, kecuali dengan alasan munasabah.
5. Murid-murid tidak dibenarkan meninggalkan sekolah pada waktu tersebut kecuali mendapat kebenaran daripada Pengetua.
6. Murid-murid yang tidak hadir ke sekolah hendaklah menulis surat kepada Guru Tingkatan atau memberikan surat cuti sakit yang dikeluarkan oleh doktor kepada Guru Tingkatan secepat mungkin.
7. Murid-murid yang hendak ke hospital mestilah mendapatkan surat akuan untuk rawatan daripada guru bertugas atau dari pejabat sekolah.
8. Murid-murid tidak dibenarkan mengadakan sebarang perjumpaan atau mesyuarat pada masa persekolahn kecuali mendapat kebenaran bertulis daripada Pengetua.
9. Murid-murid tidak dibenarkan membawa notis pengumuman atau mengutip yuran persatuan dari kelas ke kelas semasa waktu persekolahan kecuali pada waktu rehat atau dalam kes-kes kecemasan dan perlu mendapat kebenaran daripada Pengetua.
10. Murid-murid tidak digalakkan menggunakan alamat sekolah dalam urusan surat-menyurat peribadi. Sekiranya murid-murid menggunakan alamat sekolah, pihak sekolah berkuasa membuka surat-surat tersebut. Pihak sekolah tidak akan bertanggungjawab tentang sebarang kerosakan ataupun kehilangan surat yang dialamatkan ke sekolah.

Analisis:
Dalam hal ini terdapat banyak peraturan disiplin yang tidak dipatuhi oleh murid. Hal ini berlaku kerana kurang keberkesanan peranan yang dimainkan oleh pihak pentadbir itu sendiri. Di samping itu, guru disiplin juga tidak memainkan peranan yang sepatutnya dalam menangani kes-kes perlanggaran disiplin. Contoh perlanggaran peraturan yang berlaku adalah seperti kebenaran meninggalkan sekolah. Pihak pentadbir seolah-olah tidak mahu menanggung risiko sekiranya terjadi apa-apa kepada murid sehinggakan mereka bebas untuk keluar masuk dengan alasan sakit. Sesetengah alasan yang diberikan ialah sakit perut.

Murid bebas mengutip yuran persatuan dari kelas ke kelas dengan kebenaran guru persatuan itu sendiri. Kutipan ini dilakukan sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran sedang berjalan. Kadang-kadang ada juga maklumat atau notis yang berkaitan dengan persatuan disampaikan semasa proses pengajaran dan pembelajaran.

Murid juga kerap mengadakan perjumpaan pada waktu persekolahan sedang berjalan dengan alasan mendapat kebenaran daripada guru persatuan. Hal ini berlaku kerana sikap guru yang menganggap bahawa masalah disiplin yang berlaku di hadapan mata mereka bukannya masalah mereka, tetapi ia adalah masalah guru disiplin, pihak pentadbir dan sekolah.

Waktu Pengajaran & Pembelajaran
1. Apabila guru/pengetua/pelawat masuk ke bilik darjah, murid hendaklah bangun dan mengucapkan selamat atau memberi salam dan mengucapkan “Terima Kasih” waktu mereka meninggalkan bilik darjah.
2. Murid dilarang menimbulkan suasana bising dan mengganggu ketenteraman bilik darjah.
3. Murid-murid mestilah mendapat kebenaran daripada guru untuk keluar darjah atau masuk ke bilik darjah.
4. Apabila guru tidak ada di dalam bilik darjah, Ketua Tingkatan bertanggungjawab menghubungi guru tersebut atau Guru Gantian sekiranya guru matapelajaran tersebut tidak hadir.
5. Semasa ke makmal atau meninggalkan makmal, murid-murid hendaklah berjalan dalam dua barisan didahului oleh murid perempuan dan barisan tidak boleh berpecah.
6. Kelas-kelas mestilah dikunci semasa murid-murid hendak ke makmal atau pelajaran senaman dan waktu persekolahan habis/tamat.

Analisis:
Peraturan ini tidak dipatuhi sepenuhnya oleh murid, dari aspek beratur berdua-dua ke makmal, bengkel atau surau. Hal ini terjadi kerana tahap disiplin yang rendah serta kurangnya tanggungjawab sebagai seorang murid. Kelas-kelas tidak pernah dikunci selain pada waktu tamat persekolahan sahaja. Ini adalah disebabkan oleh kurangnya penekanan dari aspek keselamatan harta benda murid oleh pihak sekolah.

Waktu Perhimpunan
1. Semua murid dikehendaki menghadiri sebarang bentuk perhimpunan yang diarahkan oleh pihak sekolah.
2. Semua murid dilarang membuat sebarang bentuk perhimpunan sendiri di luar bidang pelajaran, olahraga dan persatuan atau pertubuhan yang dibenarkan oleh pihak sekolah.
3. Apabila sesuatu perhimpunan diadakan semua murid dikehendaki segera ke tempat perhimpunan.
4. Semasa perhimpunan, murid mestilah berada dalam barisan lurus dan tidak membuat bising bahkan mesti menjaga tingkah laku masing-masing. Ketua Tingkatan dan pengawas mestilah mengawasi murid-murid di bawah jagaan masing-masing.

Analisis:
Kadar kebisingan murid pada waktu perhimpunan adalah sederhana kerana terdapatnya pengawasan yang dilakukan oleh pihak pengawas dan guru bertugas. Kadar kebisingan akan menjadi rendah apabila Pengetua datang untuk memulakan upacara perhimpunan. Amat payah sekali bagi sekolah harian mempraktikkan keadaan senyap sunyi semasa perhimpunan kerana kurangnya komitmen daripada murid dan guru itu sendiri.

Waktu Rehat
1. Sebarang masa murid-murid dibebaskan daripada menerima pelajaran di bilik darjah atau di tempat-tempat tertentu adalah dianggap masa rehat.
2. Pada waktu rehat, murid dilarang beradadi dalam bilik darjah dan di kawasan larangan yang lain.
3. Murid-murid dibenar minum sahaja selepas waktu senaman dan dilarang sama sekali makan dan minum di dalam kelas.
4. Murid-murid tidak dibenarkan masuk ke bahagian dalam kantin untuk makan atau membeli makanan pada bila-bila masa.

Analisis:
Pada waktu ini kadar kebisingan akan menjadi lebih tinggi kerana kurangnya kawalan dari aspek kebisingan. Akan tetapi dari aspek lain iaitu beratur dan tatacara membeli makanan adalah amat teratur. Kekangan yang dihadapi oleh pihak sekolah pada waktu rehat ialah kekurangan tempat untuk makan kerana saiz kantin yang tidak mampu menampung jumlah murid yang ramai dalam satu masa. Pihak sekolah mengambil inisiatif dengan membahagikan waktu rehat kepada dua bahagian tetapi masih lagi terdapat kekurangan dari aspek yang sama.

Waktu Matapelajaran Pendidikan Jasmani
1. Semasa pelajaran Pendidikan Jasmani , semua murid mestilah keluar berkumpul di padang permainan (tempat-tempat yang ditetapkan oleh Guru Pendidikan Jasmani) kecuali hujan.
2. Pakaian lengkap untuk tujuan Pendidikan Jasmani hendaklah dipakai semasa pelajaran ini dijalankan.
3. Murid-murid tidak dibenarkan:-
3.1 Berada di tempat-tempat lain.
3.2 Keluar meninggalkan kawasan Pendidikan Jasmani tanpa kebenaran.
3.3 Berada di dalam kelas.
3.4 Memakai pakaian seragam sekolah.

Analisis:
Peraturan ini boleh dikatakan kurangnya komitmen daripada pihak sekolah kerana Pendidikan Jasmani hanya dianggap sebagai mata pelajaran sampingan. Ia bukanlah mata pelajaran utama yang perlu diberi penekanan. Hal ini terjadi kerana trend pendidikan hanya menumpukan kejayaan dan kecemerlangan dalam akademik yang menjadi kayu pengukur akan tahap pendidikan dan sosial sesuatu insan. Pihak sekolah berasa bertanggungjawab memenuhi kehendak yang diingini oleh para waris yang mahukan anak mereka berjaya dalam pelajaran kerana murid-murid ini adalah amanah yang diberikan oleh waris kepada pihak sekolah. Masalah peraturan itu dipatuhi atau tidak, bukanlah satu masalah utama yang perlu pihak sekolah atasi dengan segera dan berkesan.

Waktu Pulang
1. Apabila arahan pulang diberi atau loceng akhir dibunyikan, semua murid dikehendaki keluar daripada bilik darjah dalam keadaan yang tidak bising.
2. Murid-murid hendaklah mematuhi arahan-arahan pengawas di tempat letak basikal dan di jalan raya.
3. Murid-murid yang mengalami masalah untuk pulang hendaklah melaporkan segera kepada Guru Bertugas.

Analisis:
Peraturan ini juga tidak diberi penekanan kerana dewasa ini sudah menjadi trend bagi para waris untuk mengambil dan menghantar anak-anak mereka dari sekolah. Isu murid menghadapi masalah untuk pulang tidak timbul. Di samping itu kemudahan pengangkutan juga mempengaruhi peraturan ini tidak dititikberatkan. Ini berlaku kerana ada sesetengah murid yang datang ke sekolah dengan menaiki kenderaan sendiri seperti basikal, motorsikal dan kereta. Peranan pengawas dan guru bertugas hanyalah sekadar untuk melepaskan murid keluar dari kawasan sekolah dan melintas jalan sahaja.

Diubahsuai daripada petikan mozais ‘Laman Generasi Guru”… s/u HEM

Sampai di sini sahaja entri ‘Peraturan Sekolah : Satu Kajian Kes’

“Yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan”

No comments:

Post a Comment

Followers