Tuesday, July 21, 2009

Kantin sekolah

Kantin sentiasa menjadi tumpuan murid dan guru. Pagi, waktu rehat dan selepas habis sekolah, begitu juga di sebelah petang. Apabila loceng waktu rehat berbunyi, murid-murid akan berkejar ke kantin untuk mengalas perut.

Kantin SMKTP kini sudah berubah wajah. Bangku panjang yang dahulunya dijadikan tempat duduk untuk makan sudah diganti dengan kerusi yang baru. Nampak lebih kemas dan tersusun. Diharap murid-murid SMKTP akan menjaga kemudahan ini dengan baik dan sentiasa memastikan kantin sekolah berada dalam keadaan yang bersih.

Kebersihan kantin merupakan satu isu penting yang menjadi perhatian semua pihak.

Perangkaan Kementerian Pelajaran mendedahkan setiap tahun kira-kira 200 kes keracunan makanan dan minuman berlaku di kantin sekolah di seluruh negara. Ini bermakna setiap hari persekolahan terdapat purata satu kes keracunan berlaku berdasarkan kepada jumlah hari persekolahan sekitar 200 hari dalam setahun.

Jumlah kes itu termasuk yang hanya melibatkan bilangan murid yang kecil dan tidak dihebohkan melalui media. Banyak atau sedikit murid yang menjadi mangsa tidak menjadi ukuran untuk mengabaikan kes itu dan menganggapnya sebagai kes terpencil. Memang jika dilihat pada peratusan kes, ia amat kecil kerana purata satu kes sehari itu adalah dari belasan ribu buah sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.

Apa yang pasti, kejadian keracunan makanan boleh dielak jika pihak pengusaha kantin mematuhi peraturan kebersihan dan pengendalian dipatuhi sepenuhnya.

Kementerian Pelajaran telah melakukan pelbagai pendekatan untuk mengatasi masalah yang berlarutan saban tahun dan perkara ini tidak boleh dipandang mudah memandangkan ia melibatkan keselamatan murid.

Bermula April 2008, kantin sekolah di seluruh negara dinilai dalam aspek kebersihan pengendalian dan penyediaan makanan mengikut gred A hingga D. Pemberian gred itu digunakan untuk tujuan pemantauan, tindakan dan juga penilaian dalam penyambungan kontrak.

/rbj

No comments:

Post a Comment

Followers