Monday, August 10, 2009

Langkah Cegah H1N1 di Sekolah

Tidak ada perhimpunan rasmi di sekolah pagi ini. Ada pekeliling daripada daripada JPNP yang melarang diadakan sebarang perhimpunan untuk mengelakkan penularan virus influenza A H1N1 di sekolah.

Langkah drastik juga perlu diambil oleh pihak sekolah bagi mencegah penularan virus H1N1 dalam kalangan warga SMK Tanah Putih.

Pagi tadi, atas nasihat Jabatan Kesihatan, pihak sekolah telah meminta semua guru tingkatan menyenaraikan nama murid yang tidak hadir pada hari ini disebabkan demam. Nama-nama tersebut akan diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pahang dengan segera. Didapati ramai juga murid yang tidak hadir ke sekolah pada hari ini.

Selain itu, murid-murid yang didapati tidak sihat, tetapi datang ke sekolah diminta balik dan berehat di rumah. Ibu bapa telah dihubungi / dipanggil untuk membawa anak-anak mereka balik ke rumah. Terdapat ramai juga murid yang tidak datang ke sekolah hari ini kerana demam. Mereka ini dinasihatkan berehat di rumah selama 7 hari.

Guru-guru yang tidak sihat juga dikehendaki mendapatkan rawatan di pusat-pusat kesihatan dan perlu berehat di rumah selama 7 hari.

Cegah Sebelum Parah...! /rbj

Berhati-hati H1N1


Langkah berwaspada perlu diambil bagi mengelakkan diri daripada terkena jangkitan virus H1N1. Sudah beberapa buah sekolah di negeri Pahang diarahkan tutup selama seminggu.

Panduan Penjagaan Kesihatan :
A) Penjagaan Kesihatan Diri di Rumah :
1) Jika demam, makan ubat paracetamol mengikut dos yang disyorkan.
2) Berehat secukupnya.
3) Banyakkan pengambilan cecair (termasuk air mineral, bubur, isotonik, jus buah-buahan dan sup) bagi mengelakkan dehidrasi.
4) Sekiranya mengalami tanda-tanda kecemasan, segera dapatkan rawatan doktor.
5) Pastikan pengudaraan yang baik di rumah (cth : membuka tingkap di bilik, dapur, tandas dan bilik mandi)

B) Nasihat untuk pesakit dan ahli keluarga bagi mengawal jangkitan di rumah.
1. Amalkan adab batuk yang baik
2. Tingkatkan penjagaan kebersihan diri
3. Jangan kongsi peralatan peribadi
4. Menjarakkan diri (Social Distancing)

Tanda & Gejala :
1) Demam
2) Batuk
3) Sakit tekak
4) Sakit-sakit badan
5) Sakit kepala
6) Cirit birit / muntah
7) sesak nafas/ semput/ sakit dada berterusan

Tindakan pencegahan :
1) Segera ke klinik
2) Kerap cuci tangan dengan air bersih
3) Adab / etika batuk
4) Tutup mulut dengan tisu/ sapu tangan apabila batuk/ bersin
5) Elakkan tempat sesak
6) Ketahui situasi semasa

Perhatian :
Penyakit ini boleh berjangkit melalui udara (pernafasan) dan sentuhan !!!!
Jadikan kebersihan amalan diri, keluarga dan masyarakat !

Mencegah Adalah Lebih Baik Daripada Mengubati... / rbj

Saturday, August 8, 2009

Sekolah yang Selamat & Berkesan : Aspek Disiplin

Sekolah yang selamat dan berkesan ialah sekolah yang dibentuk oleh iklim sekolah yang positif. Terdapat 6 faktor utama untuk membentuk iklim yang positif di sekolah, iaitu kepimpinan, disiplin, keselamatan, kehadiran, pengurusan konflik dan kurikulum. Menyatukan semua faktor tersebut dalam bentuk yang kreatif dapat menyediakan rangka bidang yang perlu untuk mewujudkan keadaan sekolah yang aman, damai dan produktif.

Aspek Disiplin :

Di sekolah, disiplin murid mestilah bermula dari bilik darjah. Disiplin dalam bilik darjah adalah sangat perlu untuk memelihara peraturan dan membentuk persekitaran yang akan membantu ke arah pembelajaran.

Prinsip yang utama di bawah disiplin bilik darjah yang positif akan mendorong murid untuk menerima tanggungjawab bagi perilakunya sendiri. Apabila murid-murid memegang tanggungjawab ini, mereka mempunyai tingkah laku yang teratur dengan sedikit atau tanpa tekanan , daripada peraturan di sekolah dan pihak atasan.

Seorang ahli sosiologi, Amitai Etzioni telah menghubungkan pekerjaan murid yang rendah mutunya dengan kekurangan disiplin diri; terutama disiplin diri inteleknya. Mengulas secara umum tentang disiplin, beliau menyatakan bahawa suatu perbezaan yang paling utama bagi sekolah yang berkesan dengan sekolah yang kurang berkesan ialah struktur disiplinnya. (Tugend, A., 1984). Beliau juga menyatakan bahawa struktur disiplin adalah yang paling berkesan apabila ia diterima oleh murid sebagai yang sahih dan tidak sebagai suatu yang dipaksakan daripada pihak atasan.


Friday, August 7, 2009

Telekung

Murid-murid perempuan yang beragama Islam digalakkan menutup kepala dengan memakai mini telekung / tudung berwarna putih serta anak tudung. Rambut hendaklah dimasukkan ke dalam anak tudung dengan rapi.

Sekiranya murid berkenaan mengenakan tudung kepala yang singkat atau anak tudung yang kecil sehingga menampakkan rambut atau dengan sengaja melepaskan rambut yang panjang di sebalik tudung (tanpa menggunakan anak tudung), ini dianggap melanggar peraturan sekolah sebagaimana yang tercatat dalam Buku Peraturan Sekolah yang berwana kuning itu.

Mereka yang tidak mematuhi peraturan pemakaian tudung yang betul akan diberi 'kebenaran khas' memakai telekung labuh (telekung sembahyang bagi wanita) . Mereka perlu memakai telekung tersebut sehingga tamat waktu persekolahan.

Foto : 'bergaya' ....???!!! / rbj

Thursday, August 6, 2009

H1N1 - Langkah awal berjaga-jaga...


Di SMKTP, sudah ramai murid yang mula memakai topeng (mask) untuk menutup mulut dan hidung. Ini merupakan langkah awal untuk menghindarkan diri daripada terkena udara yang tidak bersih. Sejak akhir-akhir ini didapati setiap hari ada murid yang demam selsema dan terpaksa berehat di rumah.

Memakai topeng hidung dan mulut ini adalah antara langkah awal yang perlu diambil bagi menghadapi 'serangan' inlfuenza A (H1N1) yang melanda negara sekarang. Murid-murid juga dinasihatkan sentiasa membasuh tangan mereka setiap kali selepas keluar dari tandas...

"Sediakan payung sebelum hujan... sediakan topeng sebelum 'bersin'....! /rbj

Wednesday, August 5, 2009

Murid 'tertidur' dalam kelas



Akhir-akhir ini ada murid-murid yang 'tertidur' di dalam bilik darjah. Terdapat pelbagai sebab murid tidur dalam kelas.

Ada murid yang datang ke sekolah walaupun kurang sihat dan pagi-pagi lagi mereka akan 'tertidur' di dalam kelas. Kalau yang berkulit putih, sampai merah sebelah pipi mereka. Murid yang kurang sihat ini dinasihatkan oleh guru untuk menghubungi ibu bapa/ penjaga mereka supaya datang ambil dan bawa mereka balik ke rumah untuk berehat, atau untuk membuat pemeriksaan di pusat kesihatan. Ini adalah untuk memastikan tahap kesihatan mereka tidak berada dalam keadaan yang berisiko.

Selain itu, terdapat juga murid yang suka tidur dalam kelas kerana kurang berminat untuk belajar kerana mereka tidak memahami apa yang diajar disebabkan masalah penguasaan bahasa yang digunakan oleh guru yang mengajar.

Faktor utama yang menyebabkan murid tidur dalam kelas ialah MENGANTUK; sentiasa mengantuk tidak kira pada waktu pagi, selepas rehat ataupun waktu sebelum balik. Terdapat beberapa kemungkinan murid mengantuk dalam kelas. Biasanya murid yang jenis ini banyak menghabiskan masa pada waktu malam dengan bekerja, menolong ibu bapa berniaga di pasar malam dan yang ramainya mengantuk kerana melepak dengan kawan-kawan sehingga lewat malam.

Hasil daripada 'perbualan santai' dengan murid yang terlibat, dapatlah disahkan bahawa punca mengantuk disebabkan oleh tabiat mereka yang tidur lewat malam. Biasanya mereka akan balik ke rumah melewati tengah malam dan kadang-kadang sehingga awal pagi. Murid ini dengan jujur mengaku bahawa mereka menghabiskan masa tanpa tujuan dengan melepak di tempat-tempat tertentu. Mereka juga mengaku, ditegur serta dinasihati oleh ibu bapa tetapi tidak diendahkan...!

Akibatnya, apabila sepanjang malam 'berjaga' tentu sekalilah mereka datang ke sekolah dalam keadaan letih, tidak bermaya dan dalam keadaan tidak bersedia untuk belajar. Mereka akan tidur jika ada peluang....

Walaupun ini merupakan kes 'terpencil' (?), namun adalah menjadi tanggungjawab kita, guru-guru untuk memastikan 'murid tidur dalam kelas' tidak berlaku. Sebagai guru yang sentiasa bersama murid di dalam bilik darjah, kita perlu peka terhadap perubahan sikap mereka dan 'ringan-ringankanlah mulut' untuk 'merisik khabar'..... / rbj

Monday, August 3, 2009

Keceriaan Sekolah : Kebersihan & Keindahan Persekitarannya

Banyak sekolah mengamalkan konsep "Sekolah Dalam Taman" - mementingkan keceriaan dan keindahan sekolah. Sesetengahnya pula mengabaikan keceriaan dan keindahan, sebaliknya menumpukan perhatian kepada perkara lain.

Antara cara untuk memastikan keceriaan sekolah :
1. menanam pelbagai jenis pokok bunga di kawasan sekolah
2. membina kerusi taman di tempat tertentu
3. menyerahkan tugas menjaga keceriaan kawasan tertentu kepada kelab dan persatuan secara sama rata
4. menanamkan kesedaran kepada warga sekolah khususnya murid agar menjaga kebersihan dan keceriaan kawasan sekolah

Keceriaan dan kebersihan perlu dijadikan amalan hidup...

Di manakah kita? /rbj

Followers