Wednesday, August 5, 2009

Murid 'tertidur' dalam kelas



Akhir-akhir ini ada murid-murid yang 'tertidur' di dalam bilik darjah. Terdapat pelbagai sebab murid tidur dalam kelas.

Ada murid yang datang ke sekolah walaupun kurang sihat dan pagi-pagi lagi mereka akan 'tertidur' di dalam kelas. Kalau yang berkulit putih, sampai merah sebelah pipi mereka. Murid yang kurang sihat ini dinasihatkan oleh guru untuk menghubungi ibu bapa/ penjaga mereka supaya datang ambil dan bawa mereka balik ke rumah untuk berehat, atau untuk membuat pemeriksaan di pusat kesihatan. Ini adalah untuk memastikan tahap kesihatan mereka tidak berada dalam keadaan yang berisiko.

Selain itu, terdapat juga murid yang suka tidur dalam kelas kerana kurang berminat untuk belajar kerana mereka tidak memahami apa yang diajar disebabkan masalah penguasaan bahasa yang digunakan oleh guru yang mengajar.

Faktor utama yang menyebabkan murid tidur dalam kelas ialah MENGANTUK; sentiasa mengantuk tidak kira pada waktu pagi, selepas rehat ataupun waktu sebelum balik. Terdapat beberapa kemungkinan murid mengantuk dalam kelas. Biasanya murid yang jenis ini banyak menghabiskan masa pada waktu malam dengan bekerja, menolong ibu bapa berniaga di pasar malam dan yang ramainya mengantuk kerana melepak dengan kawan-kawan sehingga lewat malam.

Hasil daripada 'perbualan santai' dengan murid yang terlibat, dapatlah disahkan bahawa punca mengantuk disebabkan oleh tabiat mereka yang tidur lewat malam. Biasanya mereka akan balik ke rumah melewati tengah malam dan kadang-kadang sehingga awal pagi. Murid ini dengan jujur mengaku bahawa mereka menghabiskan masa tanpa tujuan dengan melepak di tempat-tempat tertentu. Mereka juga mengaku, ditegur serta dinasihati oleh ibu bapa tetapi tidak diendahkan...!

Akibatnya, apabila sepanjang malam 'berjaga' tentu sekalilah mereka datang ke sekolah dalam keadaan letih, tidak bermaya dan dalam keadaan tidak bersedia untuk belajar. Mereka akan tidur jika ada peluang....

Walaupun ini merupakan kes 'terpencil' (?), namun adalah menjadi tanggungjawab kita, guru-guru untuk memastikan 'murid tidur dalam kelas' tidak berlaku. Sebagai guru yang sentiasa bersama murid di dalam bilik darjah, kita perlu peka terhadap perubahan sikap mereka dan 'ringan-ringankanlah mulut' untuk 'merisik khabar'..... / rbj

No comments:

Post a Comment

Followers