Sunday, March 27, 2011
Mesyuarat Agung PIBG kali ke-36 dan Hari Pelaporan
Tuesday, March 22, 2011
Laporan Kem Jati Diri 2011
Tuesday, March 8, 2011
KEM JATI DIRI



KEM JATI DIRI akan diadakan pada hari Rabu, 09/03/2011 di Taman Pertanian Kuantan ,Pahang. Kem ini dianjurkan oleh Badan Kaunseling dengan kerjasama Badan Disiplin. Fokus kem ini adalah untuk pelajar-pelajar yang bermasalah dari segi disiplin sekolah. Kem ini berlangsung selama satu hari dari jam 7.30 pagi dan berakhir jam 4.30 petang dengan di bantu oleh 5 0rang guru kaunseling dan 2 orang guru disiplin.
Thursday, July 1, 2010
Objektif Pengurusan HEM
Objektif Masyarakat
Masyarakat memerlukan sumber tenaga manusia yang berkualiti dan cemerlang bagi memenuhi keperluan tenaga kerja dalam masyarakat sama ada bekerja dalam sektor awam, swasta atau bekerja sendiri.
Objektif Sekolah
Sekolah mempunyai matlamat dan objektif yang telah ditetapkan dari segi pencapaian akademik dan non-akademik. Murid-murid dalam konteks ini dikehendaki berusaha bagi mencapai matlamat dan objektif yang ditetapkan oleh pihak sekolah.
Objektif Fungsian
Sekolah dan murid-muridnya mesti memainkan fungsinya dengan sebaik mungkin supaya proses pendidikan, penerapan nilai-nilai dan sosialisasi dapat berjalan dengan baik dan lancar.
Objektif Peribadi Pelajar
Murid sebagai individu mempunyai objektif yang tertentu dalam proses pembelajaran di sekolah. Cita-cita dan harapan setiap murid perlu dipenuhi oleh pihak sekolah sama ada bagi tujuan akademik mahupun kerjaya pada masa hadapan.
.../rbj
Sunday, June 27, 2010
Prinsip & Strategi Pengurusan HEM
Prinsip dan strategi dalam pengurusan HEM di sekolah amatlah mustahak demi mencapai keberkesanan sesuatu program khususnya untuk membina sahsiah murid. Prinsip yang tepat dan praktikal pasti akan dapat menentukan halatuju pengurusan sesuatu program. Kawalselia dan penyelarasan juga akan dapat mengurangkan masalah. Jadi beberapa prinsip yang sesuai untuk menentukan pengurusan HEM berasaskan kepada satu sistem yang terancang dan teratur.
Di antara prinsip-prinsip pengurusan HEM yang sesuai ialah:
* Perancangan jadual kerja yang rapi mengikut jangka pendek dan jangka panjang.
* Pengelolaan program secara terperinci bagi menentukan kejayaan.
* Penggunaan staf secara optimum dengan memupuk semangat mereka ke tahap tertinggi.
* Pengarahan kerja staf bagi menjamin kelicinan perjalanan organisasi.
* Penyelarasan aktiviti untuk mengawal pembaziran masa, tenaga dan peruntukan.
* Pengawalan belanjawan mengikut prinsip penggunaan minimum untuk mendapatkan hasil yang maksimum
* Proses penilaian program secara objektif.
.../rbj
Thursday, June 24, 2010
Fungsi-fungsi Pengurusan HEM
Fungsi-fungsi pengurusan HEM di sekolah pula dapat dilihat seperti berikut:
* mengenalpasti potensi pelajar dan memupuknya hingga ke tahap cemerlang.
* memberikan khidmat bantuan kepada pelajar yang bermasalah.
* mengelolakan program latihan kepemimpinan dan organisasi pelajar.
* mengendalikan program orientasi pelajar.
* memberi galakan dan pedoman berdikari.
* mendedahkan pelajar terhadap sumber-sumber pengetahuan masyarakat.
* mengeratkan hubungan antara instituti pendidikan dengan masyarakat dan ibu bapa.
* mengorientasikan pandangan ibu bapa supaya secocok dengan matlamat pendidikan negara.
* merancang dan melaksanakan program kendiri untuk mengenal kelemahan dan kekuatan diri.
* mengatur dan mengelola aktiviti untuk mencapai kecemerlangan diri.
.../rbj
Monday, June 21, 2010
Falsafah Pengurusan HEM di Sekolah
Menurut Williamson dan Sarbin (1940) perkhidmatan hal ehwal murid hendaklah merangkumi falsafah pendidikan yang holistik, falsafah demokrasi yang mengiktiraf harga diri setiap individu, keunikan dan kompleksnya masalah pelajar, keperluan pelajar terhadap pertolongan profesional dan keperluan terhadap usaha menghindar atau pencegahan masalah.Nordin (1993:18) pula memetik pandangan dalam tulisan Mueller (1961) yang menggariskan falsafah pengurusan murid iaitu:
The uniqueness of individuals is recognized.
Each individual must be treated as a functioning whole.
A Student Personel program must be developed based on the individual’s current drivers, interest, and needs, that is appropriate for any particular school.
Pengurusan Hal Ehwal Murid dalam konteks negara Malaysia pula pada asasnya mestilah bertunjangkan kepada Falsafah Pendidikan Negara (FPN) dan Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK). Dengan kata-kata lain, pengurusan HEM yang dikendalikan dalam semua instituti pendidikan termasuklah di sekolah hendaklah dilaksanakan berpandukan falsafah, dasar, aspirasi dan sistem pendidikan di negara ini. Berdasarkan pegangan falsafah ini, maka segala urusan berkaitan perkhidmatan dan pengurusan Hal Ehwal Murid bukan sahaja bertepatan dengan matlamat sekolah, tetapi juga matlamat negara.
Berdasarkan asas falsafah itu, digariskan beberapa prinsip asas pentabiran HEM iaitu:
Keseluruhan tugas pengurusan HEM hendaklah difahami dan dipecahkan kepada komponen-komponennya. Pengurus HEM hendaklah mengkaji fungsi-fungsinya secara mendalam dan berusaha mendapatkan pengalaman melaksanakannya.
Tanggungjawab melaksanakan fungsi-fungsinya yang khusus hendaklah diserahkan kepada personel yang berkelayakan.
Setiap staf hendaklah bekerja mengikut tahap kepandaian dan kemampuannya yang maksimum.
Walaupun guru-guru lain juga perlu dilibatkan bagi melaksanakan pengurusan HEM, sesebuah sekolah itu hendaklah mempunyai tenaga yang berkepakaran.
Pakar dalam bidang ini elok menumpukan usaha mengajar guru lain dan menolong mereka tumbuh dan berkembang sendiri bagi memenuhi keperluan murid.
Setiap staf hendaklah diberi orientasi terhadap tugas dan tanggungjawab dengan secukupnya.
Ia hendaklah mengendalikan aktiviti yang sampai kepada setiap pelajar.
Hendaklah ada sistem yang membolehkan setiap pelajar mempunyai hubungan yang rapat dengan sekurang-kurangnya seorang guru.
Aktiviti-aktiviti berkelompok hendaklah dilaksanakan.
Peranan dan pembahagian tugas staf hendaklah disediakan dengan jelas.
Saiz pentadbiran HEM hendaklah berpadanan dengan saiz keperluan sesebuah sekolah itu sendiri.
Hubungan dengan badan-badan di luar instituti pendidikan hendaklah diadakan.
Hubungan dengan NGO dan pelbagai jabatan kerajaan misalnya, mampu menyediakan pilihan aktiviti yang sangat luas. Ia kerap kali dapat membantu mempermudahkan prosedur kerja yang memerlukan urusan dengan pihak luar.
..../rbj
Thursday, June 17, 2010
Sejarah Perkhidmatan HEM
Di negara barat seperti Amerika dan Syarikat, pengurusan personalia pelajar yang lebih dikenali sebagai Perkhidmatan Bantuan (student services) atau Perkhidmatan Personalia Pelajar (student personnel services) pada awal 1920-an yang bermula di instituti pengajian tinggi dan kemudiannya berkembang pula sehingga ke peringkat sekolah. Dengan berpegang kepada pendapat bahawa sedangkan mahasiswa di pengajian tinggi yang lebih dewasa pun memerlukan perhatian dalam aspek peribadi, kanak-kanak di sekolah tentulah lebih memerlukan perhatian dalam aspek-aspek yang disebutkan.
Nordin (1993:17) memetik kandungan buku Sturtevant dan Hayes (1930) yang menyatakan bahawa aspek perkhidmatan yang disediakan oleh pekerja personelia murid di barat pada peringkat awal meliputi bimbingan pelajaran dan pekerjaan, pelanggaran disiplin, moral, hal-hal sosial, masalah kesihatan tubuh badan dan faktor ekonomi yang menganggu kehidupan sebagai pelajar. Nama-nama jawatan yang pernah dicatatkan dalam Education Research Bulletin pada awal sejarah perkhidmatan ini termasuklah pegawai penjaga kedatangan murid, guru pelawat, ahli psikologi sekolah, ahli psikitri sekolah, penyelia dan pegawai kesihatan sekolah.
Seperti juga di negara-negara barat, di Malaysia, perkhidmatan hal ehwal pelajar secara rasmi juga dimulakan di peringkat universiti iaitu pada penghujung tahun 1960-an dan awal 70-an ekoran gerakan agresif para mahasiswa universiti dan kemudiannya kerajaan mewujudkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang mewujudkan jawatan Timbalan Naib Canselor Disiplin buat pertama kalinya yang kemudiannya diubah kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar).
Di peringkat sekolah, perkhidmatan yang secara konsepnya termasuk di bawah ruang lingkup personalia murid telah lama wujud.
.../rbj
Monday, June 14, 2010
Konsep Pengurusan HEM
Menurut Peter F. Drucker, pengurusan boleh ditakrifkan sebagai proses sosial yang dibentuk untuk memberikan kerjasama, penglibatan, campur tangan dan penyertaan orang lain ke arah pencapaian yang lebih berkesan terhadap sesuatu objektif yang ditetapkan.
Jaafar Muhammad (1988) pula mendefinisikan pengurusan sebagai satu proses mengagihkan input-input organisasi (termasuk sumber ekonomi dan sumber kakitangan) dengan cara perancangan, pengorganisasian, pengarahan dan pengawalan untuk tujuan mengeluarkan output (perkhidmatan) yang diperlukan oleh pelanggan-pelanggan supaya objektif organisasi tercapai.
Oleh itu, berlandaskan konsep asas pengurusan, pengurusan HEM merupakan satu proses pengendalian resos-resos sama ada manusia atau fizikal dengan tujuan untuk mencapai matlamat dan objektif pada tahap yang memuaskan. Dalam waktu yang sama ianya dapat memberikan rasa kepuasan, semangat kerjasama dan disiplin yang tinggi di kalangan ahli-ahli dan semua pihak yang terlibat dalam instutiti sekolah sama ada pentadbir, pelajar, guru, kakitangan sokongan, ibu bapa, dan masyarakat.
Dalam istilah yang mudah pengurusan HEM adalah proses-proses yang berhubungkait dengan:
i. Perancangan kerja atau program bagi murid/pelajar
ii. Pengelolaan murid/pelajar dan program secara berkesan
iii. Pemilihan cara atau kaedah yang berkesan dalam pengurusan organisasi
iv. Penyeliaan dan penyelarasan aktiviti-aktiviti
v. Pengawalan, penilaian prestasi murid/pelajar dan penilaian program
.../rbj
Thursday, June 10, 2010
Siapakah Murid-murid Sekolah?

Mengikut ahli-ahli psikologi, kanak-kanak atau murid-murid yang berada pada setiap peringkat umur mesti melaksanakan tugas perkembangan masing-masing. Kegagalan memenuhi tugas perkembangan pada sesuatu peringkat boleh menjejaskan perkembangan kanak-kanak atau murid=murid pada peringkat perkembangan seterusnya.
Pengurus-pengurus di peringkat sekolah mestilah memahami diri murid sebagai organisme yang berkembang dan kompleks. Mereka menghadapi pelbagai masalah dan cabaran yang kompleks dalam proses perkembangan diri dan memerlukan bantuan serta bimbingan daripada guru-guru di sekolah.
... sayangilah anak-anak didik kita.../rbj
Wednesday, June 2, 2010
PANDUAN MENGATASI PERAS UGUT DAN BULI
PERAS UGUT ialah perbuatan meminta wang secara paksa dan kekerasan. Jika tidak diberi, mangsa berkenaan akan dicederakan atau disiksa.BULI ialah perbuatan mempermainkan orang yang lemah dengan tujuan menjatuhkan maruah atau untuk menunjuk kekuatan atau suka-suka.
PERAS UGUT dan BULI mendatangkan kesan emosi yang teruk kepada mangsa dan boleh menyebabkan kecederaan serta pembunuhan.
* Murid yang melakukan peras ugut atau buli boleh dibuang sekolah, ditangkap atau dipenjara mengikut kejadian kes.
* Berjumpa dengan guru kaunseling jika anda ada sebarang masalah.
* Laporkan kepada guru jika melihat kegiatan peras ugut atau buli di sekolah.
* Berada dalam kumpulan.
* Belajar seni mempertahankan diri untuk keselamatan.
* Jangan berkawan dengan murid yang berisiko tinggi.
* Jangan terpengaruh dengan ajakan kawan.
* Guru perlu menyiasat apabila menerima aduan.
* Guru patut mengambil tindakan yang adil untuk kedua-dua belah pihak dengan memberi nasihat dan bimbingan.
* Rekodkan semua kes yang disiasat.
* Murid perlu amalkan budaya penyayang, toleransi, menghormati orang lain dan simpati kepada yang lemah.
* Jangan siksa orang lain. Ini merupakan perbuatan yang keji dan zalim.
Semua pihak perlu peka dan bekerjasama untuk mengatasi masalah ini..../ rbj
Tuesday, June 1, 2010
SIFAR PONTENG

Murid yang ponteng cenderung melakukan perbuatan yang negatif, seperti melepak, merokok, berjudi, mencuri, atau terlibat dengan kumpulan samseng dan penyalahgunaan dadah.
Ponteng berlaku kerana murid sudah tidak berminat untuk belajar, tidak menyiapkan kerja rumah yang diberi oleh guru, pengaruh rakan sebaya, pengajaran membosankan, tidak suka kepada guru, mangsa ejekan / buli atau masalah kewangan keluarga.
Antara langkah SIFAR PONTENG :
* Murid hendaklah menjalin hubungan yang baik dengan guru dan rakan-rakan..../rbj
* Murid perlu tahu kepentingan menuntut ilmu dan pentingnya pendidikan untuk masa depan mereka.
* Jangan mudah terpengaruh dengan kawan-kawan yang sudah tidak bersekolah.
* Jauhi kawan-kawan yang bersifat negatif.
* Murid hendaklah berjumpa dengan kaunselor jika mereka mempunyai sebarang masalah sama ada masalah di rumah atau di sekolah.
* Guru kelas perlu menghubungi ibu bapa / penjaga murid dengan segera dan mengenalpasti sebab-sebab ponteng. Jika perlu, buat lawatan ke rumah.
* Ibu bapa hendaklah mengambil berat tentang keperluan anak-anak dan memastikan mereka betul-betul datang ke sekolah.
* Sentiasa memberi nasihat kepada anak-anak agar mereka belajar bersungguh-sungguh.
* Guru perlu menggunakan pelbagai kaedah dalam P & P bagi menarik minat murid terhadap pelajaran.
* Pihak sekolah perlu mewujudkan persekitaran sekolah yang sihat, selamat dan menyeronokkan.
Tuesday, May 25, 2010
INGAT SEBELUM KENA, JIMAT SEBELUM HABIS,,,,

Sekolah ialah tempat untuk menimba ilmu pengetahuan. Persekitaran sekolah yang cantik, bersih, selamat dan menyeronokkan menjadi pilihan murid. Namun begitu, terdapat beberapa insiden telah berlaku ke atas murid yang mengganggu proses pembelajaran mereka.
Antaranya adalah seperti berikut :
* Murid diculik di dalam kawasan sekolah * Kejadian rogol dan bunuh yang melibatkan murid sekolah
* Kejadian pergaduhan sesama murid
* Kejadian murid mati lemas di sungai * Kemalangan jalan raya dan kebakaran
* Penglibatan murid dalam kes dadah dan pecah rumah
* Kejadian murid meninggal dunia ketika aktiviti kokurikulum * Meningkatnya kes buli, peras ugut dan gaduh sehingga berlaku kematian
Bagi mengurangkan permasalahan ini, pihak sekolah cuba mengadakan satu panduan yang jelas bagi membantu murid-murid. Dokumen bukti yang kukuh yang biasanya disediakan oleh pihak sekolah merupakan bukti bahawa pihak sekolah prihatin terhadap aspek keselamatan murid. Kegagalan mengemukakan bukti bertulis yang lengkap menyebabkan pihak sekolah sentiasa dipersalahkan apabila berlaku sesuatu insiden sama ada di dalam atau di luar sekolah...
PANDUAN UNTUK MURID KETIKA DI DALAM KELAS
1) Masuk / keluar ke kelas hendaklah beratur
2) Jangan bermain, bersenda gurau dan berlari di dalam kelas. Jika terjatuh, anda mungkin cedera terkena bucu meja atau kerusi.
3) Laporkan kepada guru jika terdapat kerosakan di dalam kelas, seperti cermin tingkap pecah, kerusi meja sudah rosak, suis lampu/ kipas rosak atau tidak berfungsi.
4) Jangan sentuh dan cuba memperbaiki bahagian yang pecah atau rosak itu.
5) Jauhi tempat yang berbahaya.
6) Dilarang makan atau minum di dalam kelas.
7) Setiap murid hendaklah mematuhi jadual giliran bertugas. Jaga kebersihan kelas anda.
8) Tutup suis lampu/ kipas/ alat elektrik sebelum meninggalkan kelas.
9) Amalkan budi bahasa dan sopan santun dalam pergaulan dengan rakan-rakan. Jangan mengejek atau memanggil rakan anda dengan panggilan yang buruk. Ini boleh mengakibatkan pergaduhan.
10) Utamakan keselamatan anda dan peka dengan loceng kecemasan yang dibunyikan dengan panjang.
11) Beratur tinggalkan kelas dengan segera apabila loceng kecemasan dibunyikan. Bergerak ke padang atau tempat lapang dengan segera.
12) Bawa barang-barang yang penting sahaja.
13) Ikut arahan guru dari semasa ke semasa.
Jadi, semua pihak perlu sentiasa "beringat-ingat sebelum kena, berjimat sebelum habis...." - rbj
Sunday, May 9, 2010
Mengatasi Sifat Malas

* Ingat sasaran dan matlamat diri
* Amalkan kerja teknik 10 minit
* Banyak membaca bahan motovasi
* Susun dan mudahkan jadual anda
* Rehat dan tidur yang cukup
* Bersenam dan beriadah
* Berkawan dengan orang yang positif
* Amalkan teknik pernafasan
Pengurusan masa juga penting bagi melatih diri tidak menjadi malas. Jika buang sikap malas, murid-murid boleh cemerlang dalam pelajaran... rbj
Monday, January 25, 2010
SMKTP - Tahun Baharu 2010 yang ceria...
SMKTP membuka tirai 2010 dengan kejayaan yang memberangsangkan dalam Peperiksaan PMR 2009. Foto murid yang mendapat 'A' bagi semua mata pelajaran yang diambil akan dipaparkan di papan kenyataan. Ini bertujuan untuk memberi insirasi kepada murid-murid lain, khususnya yang bakal menduduki PMR pada tahun ini untuk berusaha mencapai kecemerlangan....
Pembangunan fizikal sekolah juga banyak ditingkatkan... pintu kelas bertukar baharu, digantikan dengan pintu besi dan perlu dikunci setiap masa bagi mengelakkan berlakunya kerosakan dan kecurian ... longkang diganti baharu agar air tidak melimpah atau tidak tersumbat; air dapat mengalir dengan lancar apabila hujan lebat .... pagi tadi di blok bangunan depan dipenuhi dengan papan tanda kata-kata hikmat ... sumbangan Taylor's College...
Buku SPBT : Masih ada murid yang 'terlupa' membawa buku teks ke sekolah, walaupun sudah masuk minggu ke-4 dan ada yang meminjam daripada kawan-kawan di kelas lain... kasihan guru SPBT... ke hulu ke hilir mencari buku untuk menggenapkan keperluan murid, tetapi akhirnya tidak dihargai oleh mereka ....!
Walau bagaimanapun, ucapan penghargaan perlu diberi kepada murid-murid yang sentiasa menunjukkkan kesungguhan, tekun semasa belajar dan patuh kepada peraturan sekolah...
Foto : (1) proses P & P dalam bilik darjah (2) kata-kata hikmat (3) & (4) murid yang tidak bawa buku teks ke sekolah... /rbj
Tuesday, November 24, 2009
Isnin Pertama Cuti Sekolah di SMKTP....
Pagi ini, peperiksaan SPM dan STPM (bagi calon persendirian) berjalan seperti yang dijadualkan. Suasana tenang dan tidak bising.
Di kelas-kelas berhampiran dengan kantin sekolah dan di kelas 4M1, Program Kelas Intervensi BM yang dikendalikan oleh beberapa orang guru baru & GSTT berjalan seperti yang dijadualkan. Walaupun kehadiran murid yang terlibat amat menyedihkan tetapi guru-guru yang dipertanggungjawabkan tetap menjalankan tugas dengan baik....
Kelas Intervensi BM ini terdiri daripada 5 kumpulan iaitu Kump A, B, C, D, dan E yang melibatkan murid-murid di kelas Peralihan, Ting. 1 dan 2. Setiap kumpulan terdiri daripada 18 orang murid. Walau bagaimanapun, hanya 7 orang murid kesemuanya yang hadir bersama dengan 7 orang guru...! Berikut nama-nama murid yang hadir :
KUMPULAN A :
Phang Shao Boon (P1)
Guru : CIK LOH SUET PENG & CIK INANI SURYANI
KUMPULAN B :
1) Kwek Sir Xiong (P2) 2) Tan Ming Hong (P2)
Guru : CIK NORHAYATI SAMSUDDIN
KUMPULAN C : - TIADA MURID YANG HADIR
KUMPULAN D :
1) Chia Pu Xien (1K2) 2) Wan Muhammad Afiq (1K3)
Guru : CIK SYARIFAH NORKHAIRANI & CIK ROHASLYNA BAHARUDDIN
KUMPULAN E :
1) See Li Jia (T2) 2) Ng Cer Sam (T2)
Guru : CIK NUR ADILAH GHAZALI & CIK SITI NUR FAQIAH IBRAHIM
Selain itu, projek membina semula longkang sekolah (antara bangunan Blok B & C) yg telah dimulakan sejak minggu lepas sedang giat dijalankan. Kemungkinan juga ruang kosong antara 2 blok bangunan itu (depan koperasi & Kedai Buku) akan dijadikan tempat riadah bagi murid-murid.
Di Bilik Peperiksaan Cik Fuziellah sedang sibuk mengemaskini senarai nama murid 2010. Beberapa orang guru lain juga hadir ke sekolah untuk menyelesaikan tugas masing-masing, termasuklah mengemaskini surat-surat ketidakhadiran murid ke sekolah setelah sekolah berakhir pada 20 NOV lepas. Guru Majalah bahagian ICT (Encik Awang Mahadi dan Pn. Zulfazilah) juga sedang bertungkus-lumus menyiapkan e-majalah SMKTP 2009...!
Isnin pertama cuti sekolah, semuanya masih sibuk dengan tugas masing-masing... Cuti Sekolah maksudnya murid tak perlu datang ke sekolah mengikut jadual harian seperti biasa, tetapi guru-guru tetap datang bertugas jika diperlukan @ diminta @ diarahkan ..../rbj
Saturday, November 21, 2009
BERMULA CUTI PERSEKOLAHAN 2009
Selamat bercuti diucapkan kepada murid-murid dan semua guru SMKTP. Semoga cuti ini dapat dimanfaatkan dengan sesuatu yang berfaedah. Kepada semua guru diharapkan bersedia jika terpaksa bertugas semasa cuti ini sekiranya diperlukan. Ini termaktub dalam pekeliling yang dikeluarkan oleh KPM.
Walaupun sekolah sudah mula bercuti, beberapa aktiviti masih berjalan sebagaimana yang telah dijadualkan, terutamanya Kelas Intervensi Bahasa Melayu yang dikendalikan oleh beberapa orang guru yang baru melaporkan diri di SMKTP.
16 & 15 Disember merupakan tarikh pemulangan buku teks SPBT bagi murid-murid Tingkatan 5 yang sedang menduduki SPM sekarang.
Minggu terakhir sebelum sesi 2010 bermula, merupakan minggu yang agak sibuk di sekolah. Pada minggu tersebut mesyuarat Kurikulum dan mesyuarat Panitia mata pelajaran akan dijalankan; Pendaftaran Murid Tingkatan 1, dan Keputusan Peperiksaan PMR. akan dikeluarkan.
Tahun 2009 diakhiri dengan Mesyuarat Guru 1/2010 yang akan dijalankan di M.S Garden Hotel, Kuantan pada 31 DISEMBER 2009, pukul 8.30 pagi - 12.30 tengah hari.
4 Januari 2010, bermula sesi persekolahan tahun baru 2010...../rbj
Wednesday, November 18, 2009
SPM Bermula.... cuti sekolah tak lama lagi...
Esok 18 NOVEMBER, bermulalah Peperiksaan SPM bagi tahun 2009.Kertas peperiksaan yang akan diduduki oleh mereka pada hari pertama ialah BM 1, Sejarah 2 dan BM2. Mereka akan menduduki peperiksaan sehingga 17 Disember 2009.
Selamat menduduki peperiksaan SPM, semoga akan mendapat kejayaan yang cemerlang...
Kepada semua guru, diharap dapat menyelesaikan tugasan akhir tahun dengan sempurna sebelum memulakan cuti panjang. Guru-guru yang perlu bertugas secara bergilir-gilir sepanjang cuti ini, diharap dapat menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik.../rbj
Monday, November 16, 2009
Minggu Terakhir Persekolahan 2009
Pagi tadi juga berlangsung Majlis Restu Ilmu SPM untuk murid-murid Tingkatan 5. Semua guru yang mengajar ting. 5 berada di dewan bersama calon-calon SPM 2009.
Selepas Majlis Restu Ilmu, murid-murid yang bakal menduduki SPM ini mula menyusun kerusi meja di dewan/ bilik peperiksaan dengan pengawasan guru yang telah ditetapkan. Kerja-kerja penyusunan dewan/ bilik peperiksaan ini selesai sebelum pukul 12 tengah hari.
Esok murid Tingkatan 5 diberi pelepasan sebelum menduduki SPM pada hari Rabu ini bersamaan 18 NOVEMBER 2009. Murid Ting 4 akan hadir ke sekolah esok, Rabu dan Jumaat.
Esok 17 November 2009, merupakan Hari Pelaporan Akademik bagi murid Ting. 1, 2 & 4.
Minggu-minggu terakhir yang penuh dengan aktiviti..../rbj
Thursday, November 12, 2009
Jamuan RIMUP mengakhiri Program Selepas PMR
Syukur kepada Tuhan, pagi tadi Jamuan RIMUP bagi murid-murid Tingkatan 3 telah berjaya dilaksanakan. Aktiviti ini mengakhiri Progam Selepas PMR yang telah dijalankan selama lebih daripada 3 minggu. Esok dan minggu hadapan murid T3 akan datang seperti biasa mengikut jadual yang telah ditetapkan dan mereka akan menjalankan aktiviti bebas sama ada di bilik darjah ataupun di dewan dengan pemantauan guru mata pelajaran masing-masing.
Jumlah kehadiran murid pagi tadi boleh dianggap yang tertinggi selepas peperiksaan PMR berlangsung. Hari ini seramai lebih kurang 240 murid hadir ke sekolah. Mereka hadir ramai-ramai untuk memeriahkan Majlis Jamuan RIMUP yang dianjurkan untuk mereka....!
Semua murid nampak seronok dan gembira berada di meja bulat bersama rakan-rakan yang terdiri daripada pelbagai kaum. Juadah yang enak menambahkan lagi 'warna' majlis pada hari ini. Cuaca yang cerah tanpa tanda-tanda hari akan hujan, seolah-olah turut 'meraikan' majlis pada pagi ini.
Majlis dimulakan dengan ucapan daripada PK HEM SMKTP, Puan Noor Aini Muhammad (PK HEM) dan diikuti dengan ucapan Pengetua SMKTP, Encik Moy Wah Goon. Majlis serikan dengan persembahan nyanyian daripada pemenang pertandingan Karaoke. Upacara penyampaian hadiah pula diselang-selikan dengan acara cabutan bertuah.
Diharap konsep RIMUP yang hendak diterapkan dalam kalangan murid dapat mencapai matlamat, seterusnya dapat menjayakan wawasan pemimpin negara ke arah '1 MALAYSIA'.
Ucapan penghargaan dan jutaan terima kasih kepada barisan AJK Jamuan RIMUP yang bertungkus-lumus sejak awal pagi pagi memastikan semua murid mendapat tempat duduk masing-masing dan dapat makan dengan selesa. Pihak AJK telah menjangka 'limpahan' murid akan berlaku pada pagi ini dan langkah-langkah 'tertentu' telah diambil.
Tahniah dan terima kasih juga diucapkan kepada murid Ting. 3 kerana menunjukkan disiplin yang baik sepanjang majlis berlangsung. Mereka tidak berganjak dari tempat duduk sehinggalah majlis berakhir....
'BERSATU BERTAMBAH JITU" ... / rbj


