Sunday, June 27, 2010

Prinsip & Strategi Pengurusan HEM

Prinsip dan strategi dalam pengurusan HEM di sekolah amatlah mustahak demi mencapai keberkesanan sesuatu program khususnya untuk membina sahsiah murid. Prinsip yang tepat dan praktikal pasti akan dapat menentukan halatuju pengurusan sesuatu program. Kawalselia dan penyelarasan juga akan dapat mengurangkan masalah. Jadi beberapa prinsip yang sesuai untuk menentukan pengurusan HEM berasaskan kepada satu sistem yang terancang dan teratur.

Di antara prinsip-prinsip pengurusan HEM yang sesuai ialah:

* Perancangan jadual kerja yang rapi mengikut jangka pendek dan jangka panjang.

* Pengelolaan program secara terperinci bagi menentukan kejayaan.

* Penggunaan staf secara optimum dengan memupuk semangat mereka ke tahap tertinggi.

* Pengarahan kerja staf bagi menjamin kelicinan perjalanan organisasi.

* Penyelarasan aktiviti untuk mengawal pembaziran masa, tenaga dan peruntukan.

* Pengawalan belanjawan mengikut prinsip penggunaan minimum untuk mendapatkan hasil yang maksimum

* Proses penilaian program secara objektif.

Strategi pengurusan HEM pula akan menentukan dan menjamin keberkesanan sesuatu program atau tindakan yang akan diambil. Tanpa strategi pengurusan, mungkin sukar bagi sesuatu organisasi untuk mencapai matlamatnya. Pengurusan HEM yang menggunakan teori dan model yang sesuai dapat menentukan ketepatan tindakan strategi.

.../rbj

Thursday, June 24, 2010

Fungsi-fungsi Pengurusan HEM

Fungsi-fungsi pengurusan HEM di sekolah pula dapat dilihat seperti berikut:

* mengenalpasti potensi pelajar dan memupuknya hingga ke tahap cemerlang.

* memberikan khidmat bantuan kepada pelajar yang bermasalah.

* mengelolakan program latihan kepemimpinan dan organisasi pelajar.

* mengendalikan program orientasi pelajar.

* memberi galakan dan pedoman berdikari.

* mendedahkan pelajar terhadap sumber-sumber pengetahuan masyarakat.

* mengeratkan hubungan antara instituti pendidikan dengan masyarakat dan ibu bapa.

* mengorientasikan pandangan ibu bapa supaya secocok dengan matlamat pendidikan negara.

* merancang dan melaksanakan program kendiri untuk mengenal kelemahan dan kekuatan diri.

* mengatur dan mengelola aktiviti untuk mencapai kecemerlangan diri.

.../rbj

Monday, June 21, 2010

Falsafah Pengurusan HEM di Sekolah

Menurut Williamson dan Sarbin (1940) perkhidmatan hal ehwal murid hendaklah merangkumi falsafah pendidikan yang holistik, falsafah demokrasi yang mengiktiraf harga diri setiap individu, keunikan dan kompleksnya masalah pelajar, keperluan pelajar terhadap pertolongan profesional dan keperluan terhadap usaha menghindar atau pencegahan masalah.

Nordin (1993:18) pula memetik pandangan dalam tulisan Mueller (1961) yang menggariskan falsafah pengurusan murid iaitu:

The uniqueness of individuals is recognized.

Each individual must be treated as a functioning whole.

A Student Personel program must be developed based on the individual’s current drivers, interest, and needs, that is appropriate for any particular school.

Pengurusan Hal Ehwal Murid dalam konteks negara Malaysia pula pada asasnya mestilah bertunjangkan kepada Falsafah Pendidikan Negara (FPN) dan Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK). Dengan kata-kata lain, pengurusan HEM yang dikendalikan dalam semua instituti pendidikan termasuklah di sekolah hendaklah dilaksanakan berpandukan falsafah, dasar, aspirasi dan sistem pendidikan di negara ini. Berdasarkan pegangan falsafah ini, maka segala urusan berkaitan perkhidmatan dan pengurusan Hal Ehwal Murid bukan sahaja bertepatan dengan matlamat sekolah, tetapi juga matlamat negara.

Berdasarkan asas falsafah itu, digariskan beberapa prinsip asas pentabiran HEM iaitu:

Keseluruhan tugas pengurusan HEM hendaklah difahami dan dipecahkan kepada komponen-komponennya. Pengurus HEM hendaklah mengkaji fungsi-fungsinya secara mendalam dan berusaha mendapatkan pengalaman melaksanakannya.

Tanggungjawab melaksanakan fungsi-fungsinya yang khusus hendaklah diserahkan kepada personel yang berkelayakan.

Setiap staf hendaklah bekerja mengikut tahap kepandaian dan kemampuannya yang maksimum.

Walaupun guru-guru lain juga perlu dilibatkan bagi melaksanakan pengurusan HEM, sesebuah sekolah itu hendaklah mempunyai tenaga yang berkepakaran.

Pakar dalam bidang ini elok menumpukan usaha mengajar guru lain dan menolong mereka tumbuh dan berkembang sendiri bagi memenuhi keperluan murid.

Setiap staf hendaklah diberi orientasi terhadap tugas dan tanggungjawab dengan secukupnya.

Ia hendaklah mengendalikan aktiviti yang sampai kepada setiap pelajar.

Hendaklah ada sistem yang membolehkan setiap pelajar mempunyai hubungan yang rapat dengan sekurang-kurangnya seorang guru.

Aktiviti-aktiviti berkelompok hendaklah dilaksanakan.

Peranan dan pembahagian tugas staf hendaklah disediakan dengan jelas.

Saiz pentadbiran HEM hendaklah berpadanan dengan saiz keperluan sesebuah sekolah itu sendiri.

Hubungan dengan badan-badan di luar instituti pendidikan hendaklah diadakan.

Hubungan dengan NGO dan pelbagai jabatan kerajaan misalnya, mampu menyediakan pilihan aktiviti yang sangat luas. Ia kerap kali dapat membantu mempermudahkan prosedur kerja yang memerlukan urusan dengan pihak luar.

..../rbj

Thursday, June 17, 2010

Sejarah Perkhidmatan HEM

Di negara barat seperti Amerika dan Syarikat, pengurusan personalia pelajar yang lebih dikenali sebagai Perkhidmatan Bantuan (student services) atau Perkhidmatan Personalia Pelajar (student personnel services) pada awal 1920-an yang bermula di instituti pengajian tinggi dan kemudiannya berkembang pula sehingga ke peringkat sekolah. Dengan berpegang kepada pendapat bahawa sedangkan mahasiswa di pengajian tinggi yang lebih dewasa pun memerlukan perhatian dalam aspek peribadi, kanak-kanak di sekolah tentulah lebih memerlukan perhatian dalam aspek-aspek yang disebutkan.

Nordin (1993:17) memetik kandungan buku Sturtevant dan Hayes (1930) yang menyatakan bahawa aspek perkhidmatan yang disediakan oleh pekerja personelia murid di barat pada peringkat awal meliputi bimbingan pelajaran dan pekerjaan, pelanggaran disiplin, moral, hal-hal sosial, masalah kesihatan tubuh badan dan faktor ekonomi yang menganggu kehidupan sebagai pelajar. Nama-nama jawatan yang pernah dicatatkan dalam Education Research Bulletin pada awal sejarah perkhidmatan ini termasuklah pegawai penjaga kedatangan murid, guru pelawat, ahli psikologi sekolah, ahli psikitri sekolah, penyelia dan pegawai kesihatan sekolah.

Seperti juga di negara-negara barat, di Malaysia, perkhidmatan hal ehwal pelajar secara rasmi juga dimulakan di peringkat universiti iaitu pada penghujung tahun 1960-an dan awal 70-an ekoran gerakan agresif para mahasiswa universiti dan kemudiannya kerajaan mewujudkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang mewujudkan jawatan Timbalan Naib Canselor Disiplin buat pertama kalinya yang kemudiannya diubah kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar).

Di peringkat sekolah, perkhidmatan yang secara konsepnya termasuk di bawah ruang lingkup personalia murid telah lama wujud.

.../rbj

Monday, June 14, 2010

Konsep Pengurusan HEM

Menurut Peter F. Drucker, pengurusan boleh ditakrifkan sebagai proses sosial yang dibentuk untuk memberikan kerjasama, penglibatan, campur tangan dan penyertaan orang lain ke arah pencapaian yang lebih berkesan terhadap sesuatu objektif yang ditetapkan.

Jaafar Muhammad (1988) pula mendefinisikan pengurusan sebagai satu proses mengagihkan input-input organisasi (termasuk sumber ekonomi dan sumber kakitangan) dengan cara perancangan, pengorganisasian, pengarahan dan pengawalan untuk tujuan mengeluarkan output (perkhidmatan) yang diperlukan oleh pelanggan-pelanggan supaya objektif organisasi tercapai.

Oleh itu, berlandaskan konsep asas pengurusan, pengurusan HEM merupakan satu proses pengendalian resos-resos sama ada manusia atau fizikal dengan tujuan untuk mencapai matlamat dan objektif pada tahap yang memuaskan. Dalam waktu yang sama ianya dapat memberikan rasa kepuasan, semangat kerjasama dan disiplin yang tinggi di kalangan ahli-ahli dan semua pihak yang terlibat dalam instutiti sekolah sama ada pentadbir, pelajar, guru, kakitangan sokongan, ibu bapa, dan masyarakat.

Dalam istilah yang mudah pengurusan HEM adalah proses-proses yang berhubungkait dengan:

i. Perancangan kerja atau program bagi murid/pelajar

ii. Pengelolaan murid/pelajar dan program secara berkesan

iii. Pemilihan cara atau kaedah yang berkesan dalam pengurusan organisasi

iv. Penyeliaan dan penyelarasan aktiviti-aktiviti

v. Pengawalan, penilaian prestasi murid/pelajar dan penilaian program


.../rbj

Thursday, June 10, 2010

Siapakah Murid-murid Sekolah?



Murid-murid sekolah terdiri daripada mereka yang berumur antara 7 hingga 18 tahun. Pelajar-pelajar sekolah rendah ialah mereka yang berumur antara 7 hingga 12 tahun manakala pelajar sekolah menengah pula berumur antara 13 hingga 18 tahun.

Mengikut ahli-ahli psikologi, kanak-kanak atau murid-murid yang berada pada setiap peringkat umur mesti melaksanakan tugas perkembangan masing-masing. Kegagalan memenuhi tugas perkembangan pada sesuatu peringkat boleh menjejaskan perkembangan kanak-kanak atau murid=murid pada peringkat perkembangan seterusnya.

Pengurus-pengurus di peringkat sekolah mestilah memahami diri murid sebagai organisme yang berkembang dan kompleks. Mereka menghadapi pelbagai masalah dan cabaran yang kompleks dalam proses perkembangan diri dan memerlukan bantuan serta bimbingan daripada guru-guru di sekolah.

... sayangilah anak-anak didik kita.../rbj

Wednesday, June 2, 2010

PANDUAN MENGATASI PERAS UGUT DAN BULI

PERAS UGUT ialah perbuatan meminta wang secara paksa dan kekerasan. Jika tidak diberi, mangsa berkenaan akan dicederakan atau disiksa.

BULI ialah perbuatan mempermainkan orang yang lemah dengan tujuan menjatuhkan maruah atau untuk menunjuk kekuatan atau suka-suka.

PERAS UGUT dan BULI mendatangkan kesan emosi yang teruk kepada mangsa dan boleh menyebabkan kecederaan serta pembunuhan.
* Murid yang melakukan peras ugut atau buli boleh dibuang sekolah, ditangkap atau dipenjara mengikut kejadian kes.

* Berjumpa dengan guru kaunseling jika anda ada sebarang masalah.


* Laporkan kepada guru jika melihat kegiatan peras ugut atau buli di sekolah.

* Berada dalam kumpulan.

* Belajar seni mempertahankan diri untuk keselamatan.

* Jangan berkawan dengan murid yang berisiko tinggi.

* Jangan terpengaruh dengan ajakan kawan.

* Guru perlu menyiasat apabila menerima aduan.

* Guru patut mengambil tindakan yang adil untuk kedua-dua belah pihak dengan memberi nasihat dan bimbingan.

* Rekodkan semua kes yang disiasat.

* Murid perlu amalkan budaya penyayang, toleransi, menghormati orang lain dan simpati kepada yang lemah.

* Jangan siksa orang lain. Ini merupakan perbuatan yang keji dan zalim.
# Soalan karangan BM dalam Peperiksaan Pertengahan Tahun 2010 Tingkatan 3... langkah-langkah mengatasi gejala buli...

Semua pihak perlu peka dan bekerjasama untuk mengatasi masalah ini..../ rbj

Tuesday, June 1, 2010

SIFAR PONTENG


Ponteng ialah perbuatan tidak hadir ke sekolah tanpa alasan yang munasabah atau hadir ke sekolah tetapi tidak berada di dalam bilik darjah.

Murid yang ponteng cenderung melakukan perbuatan yang negatif, seperti melepak, merokok, berjudi, mencuri, atau terlibat dengan kumpulan samseng dan penyalahgunaan dadah.

Ponteng berlaku kerana murid sudah tidak berminat untuk belajar, tidak menyiapkan kerja rumah yang diberi oleh guru, pengaruh rakan sebaya, pengajaran membosankan, tidak suka kepada guru, mangsa ejekan / buli atau masalah kewangan keluarga.

Antara langkah SIFAR PONTENG :
* Murid hendaklah menjalin hubungan yang baik dengan guru dan rakan-rakan.

* Murid perlu tahu kepentingan menuntut ilmu dan pentingnya pendidikan untuk masa depan mereka.

* Jangan mudah terpengaruh dengan kawan-kawan yang sudah tidak bersekolah.

* Jauhi kawan-kawan yang bersifat negatif.

* Murid hendaklah berjumpa dengan kaunselor jika mereka mempunyai sebarang masalah sama ada masalah di rumah atau di sekolah.

* Guru kelas perlu menghubungi ibu bapa / penjaga murid dengan segera dan mengenalpasti sebab-sebab ponteng. Jika perlu, buat lawatan ke rumah.

* Ibu bapa hendaklah mengambil berat tentang keperluan anak-anak dan memastikan mereka betul-betul datang ke sekolah.

* Sentiasa memberi nasihat kepada anak-anak agar mereka belajar bersungguh-sungguh.

* Guru perlu menggunakan pelbagai kaedah dalam P & P bagi menarik minat murid terhadap pelajaran.

* Pihak sekolah perlu mewujudkan persekitaran sekolah yang sihat, selamat dan menyeronokkan.
.../rbj

Followers